suria

Lapangan Terbang Changi Kendali 4.24 Juta Penumpang

SINGAPURA: Lapangan Terbang Changi Singapura telah mengendalikan 4.24 juta pergerakan penumpang pada April 2013, yang naik 0.8 peratus berbanding tempoh yang sama 2012.

Pergerakan penerbangan meningkat 4.3 peratus kepada 27,500, demikian menurut perangkaan trafik Lapangan Terbang Changi yang dikeluarkan oleh Changi Airport Group (CAG).

Di segi pergerakan fret udara, CAG berkata 145,600 tan metrik kargo melalui lapangan terbang itu pada bulan lepas, yang turun 1.8 peratus berbanding setahun lepas.

Berbanding dengan April 2012, trafik penumpang ke Timur Laut Asia, Asia Tenggara dan Timur tengah yang berkembang diseimbangkan oleh penurunan trafik ke dan dari Afrika dan Eropah tetapi trafik ke Asia selatan dan Pasifik Barat Daya tidak banyak berubah.

Secara keseluruhannya, terdapat 17.3 juta pergerakan penumpang dalam tempoh empat bulan tahun ini, yang meningkat 4.8 peratus berbanding tempoh yang sama 2012 manakala pergerakan pesawat meningkat 4.0 peratus kepada 110,100 dan penghantaran kargo turun 2.1 peratus kepada 579,600 tan metrik bagi tempoh yang sama.

Lebih 100 syarikat penerbangan menggunakan Lapangan Terbang Changi. - BERNAMA

Artikel Lain