suria

Jumlah Kematian Akibat H7N9 Meningkat Kepada 3 Di China

BEIJING: Satu lagi kematian berkaitan selesema burung H7N9 dilaporkan pada Rabu, meningkatkan jumlah kematian kepada tiga dan jumlah pesakit yang dijangkiti kepada sembilan di China.

Adalah dilaporkan bahawa dua lagi pesakit dari Daerah Zhejiang di timur China dijangkiti virus baru selesema burung itu, seorang daripada mereka maut sementara seorang lagi dimasukkan hospital.

Agensi berita China, Xinhua menyebut jabatan kesihatan daerah sebagai melaporkan bahawa Hong, 38, mati pada 27 Mac sebelum pusat kawalan penyakit kebangsaan dan daerah membuat pengesahan.

"Lelaki itu yang bekerja di Daerah Jiangsu jatuh sakit pada 7 Mac dan dimasukkan hospital pada 18 Mac.

Sementara itu, seorang lagi pesakit, seorang lelaki pesara dari Hangzhou bernama Yang dimasukkan hospital pada 25 Mac dengan menghidap batuk dan demam.

Pesakit itu didapati dijangkiti virus berkenaan setelah didiagnosa.

Agensi berita itu menyatakan kesemua 183 orang yang bersentuhan dengan dua lelaki itu sehingga ini tidak menunjukkan sebarang simptom demam atau gangguan pernafasan.

China mengesahkan tiga kes selesema H7N9 yang pertama pada 31 Mac, dengan dua kematian dilaporkan dan seorang lagi pesakit dalam keadaan teruk.

Hospital di Beijing diarah menyertakan ujian H7N9 dalam semua pemantuan rutin, dan mula melatih staf dalam rawatan pneumonia yang disebabkan faktor yang tidak dapat dipastikan," tambahnya.

Sementara itu, Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Haiwan Shanghai telah menguji 34 sampel bangkai babi yang dikeluarkan dari Sungai Huangpu, Shanghai tetapi tidak menemui virus selesema burung.

Awal bulan lepas, sebahagian dari 16,000 bangkai babi ditemui di sungai itu dan ini mencetuskan kebimbangan orang ramai tentang kemungkinan kes H7N9 itu ada kaitan dengan bangkai-bangkai tersebut. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain