suria

CEO Apple Minta Maaf Kepada Pengguna China

BEIJING: Ketua Pegawai Eksekutif Apple Inc Tim Cook meminta maaf kepada pengguna China berhubung polisi jaminan syarikat selepas ia digesa berbuat demikian oleh badan pemantau pasaran perdagangan China.

"Bagi sebarang salah faham yang menyebabkan pengguna China bertanggapan bahawa sikap Apple itu sebagai 'angkuh, tidak peduli atau tidak menghargai maklum balas pengguna China', kami meminta maaf di atas perkara ini," kata Cook dalam satu kenyataan maaf yang diposkan di laman web Apple China.

Menurut kenyataan itu, Apple menerima maklum balas berhubung polisi jaminannya di China dalam tempoh dua minggu lepas, dan ia telah menilai semua aduan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, untuk menambah baik perkhidmatan syarikat, empat pelarasan utama sedang dilaksanakan, termasuk menambah baik polisi jaminan bagi iPhone 4 dan iPhone 4S untuk menyediakan hala tuju jelas tentang penyelenggaraan dan polisi jaminan, meningkatkan penyeliaan dan latihan bagi penyedia perkhidmatan sah dan memastikan pengguna dapat menyediakan maklum balas segera bagi isu-isu berkaitan perkhidmatan.

Terdahulu, badan pemantau pasaran perdagangan China, Persatuan Pengguna China (CCA), menggesa Apple meminta maaf berhubung polisi jaminannya, apabila pengguna China mengadu pengeluar iPhone itu mengguna pakai polisi berbeza bagi perkhidmatan pembaikan dan pengembalian di China.

CCA juga menggesa Apple menyamakan tempoh jaminan di China dengan negara-negara lain.

Agensi berita negara, Xinhua melaporkan China Central Television (CCTV) menyiarkan satu program khas pada 15 Mac, 2013 dan mendedahkan Apple menawarkan tempoh jaminan lebih singkat di China berbanding negara-negara lain dan menggunakan bahagian-bahagian membaik pulih bagi pembaikan dan mengelakkan obligasi selepas jualan.

Bagaimanapun, Apple menekankan dalam kenyataan itu bahawa "hampir 90 peratus pengguna berpuas hati dengan polisi jaminan kami". Di laporkan bahawa Apple hanya memperoleh 7.7 peratus bahagian pasaran telefon pintar di belakang Samsung pada 22.5 peratus, Lenovo 10.7 peratus dan tiga jenama domestik lain. -BERNAMA

Artikel Lain