suria

13 Terkorban Kebakaran Litar Pintas Di Asrama Sekolah Agama

YANGON: Satu kebakaran disebabkan litar pintas elektrik di sekolah Islam di bandar terbesar di Myanmar, awal Selasa, mengorbankan 13 kanak-kanak kata pihak berkuasa.

Kanak-kanak yang kesemuanya lelaki, meninggal dunia akibat lemas dalam kebakaran di asrama sekolah bersebelahan masjid di Yangon kira-kira pukul 2.40 pagi, menurut jiran dan pegawai-pegawai rasmi.

"Sejumlah 13 kanak-kanak lelaki terbunuh dalam kebakaran yang disebabkan oleh 'transformer' yang terlalu panas. Mereka mati lemas selepas terhidu asap yang terlalu banyak," kata pegawai.

Kebakaran itu boleh menimbulkan ketegangan berikutan keganasan yang diterajui gerombolan Buddha terhadap umat Islam di tempat lain di negara ini, termasuk pengeboman masjid dan rumah-rumah Muslim.

Sejak 43 orang terbunuh dalam keganasan yang meletus di bandar Meikhtila pada 20 Mac, kekacauan telah merebak ke sekurang-kurangnya 15 bandar dan kampung lain.

Jiran dan saksi berkata asrama Yangon yang sesak telah dikunci pintunya kerana kebimbangan keselamatan.

"Ia seolah-olah anak-anak tidak mendapat peluang untuk lari kerana pintu telah dikunci kerana keadaan tidak stabil," kata penduduk.

Menurut rekod rasmi, kerosakan elektrik dan terlalu panas adalah punca utama kebakaran di Yangon.

Artikel Lain