suria

Empat Syarikat Penerbangan Domestik Baharu Indonesia Mula Operasi Tahun Depan

JAKARTA: Empat syarikat penerbangan baharu dijadual memulakan perkhidmatan domestik masing-masing di Indonesia tahun depan.

Syarikat berkenaan ialah Batik Air, Nam Air, Kartika Airlines dan Jatayu Air.

Batik Air, anak syarikat Lion Air, syarikat penerbangan tambang rendah terbesar Indonesia, yang memperoleh permit dan kelulusan mengadakan penerbangan bagi 66 laluan domestik dan 20 laluan antarabangsa, dijangka memulakan perkhidmatannya pada Mei.

Batik Air akan menggunakan pesawat Boeing 737-900 Extended Range (ER).

Syarikat lain, yang mengendalikan perkhidmatan penerbangan penuh, dijangka memulakan operasi masing-masing pada suku ketiga dan keempat tahun depan.

Tiga syarikat berkenaan sedang menunggu selesainya proses mendapatkan permit penerbangan dan sijil pengusaha syarikat penerbangan (AOC), kata pengarah pengangkutan udara, Kementerian Pengangkutan Indonesia Djoko Murjatmodjo seperti yang dipetik akhbar harian berbahsa Inggeris The Jakarta Post pada Jumaat.

Laporan itu berkata Nam Air, anak syarikat Sriwijaya Air, akan menggunakan 20 pesawat Embraer 190s buatan Brazil.

Sriwijaya Air adalah syarikat penerbangan domestik ketiga terbesar di Indonesia, selepas Lion Air dan syarikat penerbangan kebangsaan Garuda Indonesia.

Sementara itu, Kartika Airlines dijangka menggunakan pesawat Sukhoi Superjet 100s buatan Rusia, manakala Jatayu Air akan menggunakan pesawat Boeing 737s.

Trafik penumpang udara Indonesia berkembang pada kadar 20 peratus setahun sejak beberapa tahun lepas.

Tahun lepas, jumlah penumpang udara di negara ini mencapai 139.1 juta, meningkat 27.5 peratus, berbanding 109.3 juta pada 2010 dan menjelang akhir tahun ini, jumlahnya dijangka meningkat kepada 145 juta. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain