suria

Thailand Kaji Kemungkinan Perintah Berkurung Di Kawasan Selatan

BANGKOK: Kerajaan Thailand masih mengkaji kemungkinan mengenakan perintah berkurung di selatan yang bergolak berikutan peningkatan keganasan di kawasan itu sejak kebelakangan ini.

Perdana Menteri Yingluck Shinawatra berkata kerajaan perlu berunding dengan pelbagai pihak, termasuk Majlis Keselamatan Negara, sebelum memutuskan perkara itu.

Perbahasan berhubung pengenaan perintah berkurung di Pattani, Yala dan Narathiwat semakin panas ekoran beberapa siri serangan terhadap orang awam, tentera dan sukarelawan pertahanan, selain serangan bom yang dilaporkan berlaku hampir setiap hari sejak 20 Julai.

Sekurang-kurangnya 10 nyawa terkorban dan lebih 20 orang cedera.

Insiden paling teruk ialah serangan bom kereta di Hotel CS Pattani minggu lepas, yang menyaksikan semua pelanggan hotel itu terpaksa dipindahkan.

Lebih 5,000 orang mati sejak kumpulan yang disyaki puak pemisah meneruskan kempen bersenjata mereka bagi memperjuang kemerdekaan tiga wilayah itu lapan tahun lepas. - BERNAMA

Artikel Lain