suria

Perkhidmatan Rahsia Amerika Keluarkan Garis Panduan Baru Lepas Skandal Seks

WASHINGTON: Selepas dimalukan dengan insiden skandal seks para pegawainya ketika sedang bertugas mengiringi Presiden Barack Obama ke Colombia baru-baru ini, Perkhidmatan Rahsia Amerika telah mengeluarkan garis panduan baru yang melarang ejen mengunjungi tempat-tempat yang diragui.

Mereka juga kini dilarang daripada membawa orang yang tiada mengena dengan tugas ke bilik penginapan masing-masing.

Peraturan baru itu disahkan oleh Ejen Khas Perkhidmatan Rahsia Amerika, Edwin Donovan dalam satu kenyataan rasmi semalam.

Garis panduan baru itu yang berkuatkuasa serta merta turut melarang ejen-ejen yang sedang dalam tugasan mengawal presiden daripada mengambil alkohol 10 jam sebelum melaporkan diri untuk bertugas.

Garis panduan baru ini diperkenalkan dua minggu selepas ejen-ejen Perkhidmatan Rahsia Amerika dan juga beberapa pegawai tentera juga dalam rombongan presiden ke Colombia didapati melanggan pelacur ketika sedang bertugas.

Perkhidmatan Rahsia Amerika adalah sebuah agensi yang dipertanggungjawabkan menjaga keselamatan presiden dan naib presiden dan juga mengawal mata wang Amerika daripada dipalsukan.

Ketika dalam tugasan di Colombia itu, ejen-ejen yang terlibat juga dikatakan mengambil minuman keras dalam jumlah yang banyak, mengunjungi kelab tarian bogel serta melanggani pelacur ke dalam bilik penginapan masing-masing.

Sejak kejadian itu, lapan ejen telah dipecat dan ditarik balik keistimewaan sebagai pelindung presiden.

Artikel Sebelum

Artikel Lain