suria

Gegaran Turut Dirasai Di Hat Yai & Pattani

BANGKOK: Selepas mengalami letupan bom di Hat Yai sehingga mengorbankan tiga nyawa termasuk dua rakyat Malaysia 11 hari lepas, wilayah Selatan Thailand pada Rabu dikejutkan dengan gegaran berikutan gempa bumi kuat yang berlaku di Sumatera, Indonesia.

Songkhla dan Pattani, yang terletak di wilayah Selatan Thailand, turut merasai gegaran seperti yang dialami di enam lagi kawasan iaitu Krabi, Phuket, Phangga, Satul, Ranong dan Trang.

"Saya berasa pening apabila bangunan hotel setinggi lapan tingkat ini bergegar petang ini," kata Kasma Chemat, seorang pekerja hotel di Pattani.

Beliau berkata kebanyakan tetamu hotel panik dan berkumpul di lobi berikutan gempa bumi berukuran 8.9 pada skala Richter itu.

Penduduk di Krabi, Phuket, Phangga, Satul, Ranong dan Trang telah dipindahkan ke kawasan lebih tinggi berikutan arahan yang dikeluarkan Jabatan Pencegahan Bencana dan Mitigasi di sini.

Pada 31 Mac lepas, letupan bom yang menyebabkan kebakaran di Lee Garden Plaza Hotel di Hat Yai mengorbankan tiga nyawa dan mencederakan lebih 350 yang lain termasuk 27 rakyat Malaysia. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain