suria

20 Peratus EKS Thai Dijangka Berpindah Atau Ditutup

BANGKOK: Kira-kira 20 peratus daripada enterpris kecil dan sederhana (EKS) di Thailand diunjurkan sama ada memindahkan perniagaan masing-masing ke negara lain atau ditutup berikutan pelaksanaan upah minimum di tujuh wilayah mulai 1 April.

Pengarah Pusat Ekonomi dan Unjuran Perniagaan Thai Chamber of Commerce University Thanawat Ponwichai berkata EKS itu yang menerima kesannya kebanyakannya terlibat di dalam bidang berintensif buruh yang termasuk pengeluaran pakaian dan kulit.

Pusat itu mengunjurkan bahawa 10 peratus daripada EKS akan memindahkan perniagaan masing-masing ke negara lain seperti kemboja dan Laos yang menawarkan upah yang lebih rendah.

Sebanyak 10 peratus dijangka ditutup kerana mereka tidak dapat memenuhi kos pengeluaran yang lebih tinggi berikutan upah minimum itu, katanya kepada Bernama di sini.

Kerajaan telah memperkenalkan upah minimum harian 300 Baht (kira-kira RM30) dan minimum gaji minimum bulanan 15,000 Baht (kira-kira RM1,500) bagi siswazah di tujuh wilayah mulai Ahad ini sebelum dikembangkan ke wilayah lain kemudiannya.

Ketujuh-tujuh wilayah itu ialah Bangkok, Nonthaburi, Samut Prakan, Samut Sakhon, Nakhon Pathom, Phatum Thani dan Phuket.

Pada masa ini, upah minimum di negara ini ialah antara 159 Baht hingga 221 Baht sehari yang bergantung kepada wilayah, di mana Phuket mencatatkan upah minimum tertinggi dan Payao terendah.

Thanawat berkata pusat itu mengunjurkan sesetengah pekerja tidak mahir akan menerima kesan dasar baharu itu yang termasuk kemungkinan diberhentikan tetapi pekerja mahir tidak menerima kesan langsung kerana mereka telah menerima upah lebih baik berbanding upah minimum pada masa ini.

Thanawat mengunjurkan sektor perniagaan akan mendapat kejutan kesan upah minimum pada peringkat awal sahaja tetapi akan berupaya menghadapi cabaran itu untuk meneruskan kesinambungan.

Sungguh pun begitu, beliau percaya majoriti EKS akan terus mengekalkan kesinambungan berikutan kesan upah minimum itu.

Thanawat berkata banjir dan harga minyak yang tinggi pada tahun lepas yang teruk kini telah menyumbang kepada tangung jawab mencabar bagi EKS itu untuk melaksanakan dasar baharu itu.

Secara keseluruhannya, katanya Thailand tidak akan kehilangan daya saingnya berikutan dasar upah minimum itu berbanding dengan negara lain di rantau ini kerana negara ini terkenal bagi produknya yang berkualiti.

Katanya dasar itu akan memberi kesan positif terhadap ekonomi negara itu kerana kuasa membeli rakyatnya akan meningkat berikutan upah yang lebih tinggi itu, sekaligus meningkatkan mutu kehidupan mereka.

Upah harian minimum dan upah permulaan minimum bagi siswazah adalah antara janji yang dibuat oleh kerajaan yang memerintah sekarang ini, Pheu Thai, semasa pilihan raya pada Julai tahun lepas. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain