suria

Zoran Milanovic Catat Sejarah Sebagai PM Termuda Croatia

ZAGREB: Zoran Milanovic pada Jumaat mengangkat sumpah sebagai perdana menteri baru Croatia - sekali gus mencatat sejarah sebagai pemimpin termuda negara itu sejak ia merdeka pada tahun 1991.

Pemimpin berusia 45 tahun itu yang diiktiraf sebagai seorang yang sangat bijak tetapi pada masa yang sama digelar sombong, panas baran dan tidak sabar memperlihatkan sikap berhati-hati dengan tidak membuat sebarang janji-janji manis kepada rakyat.

Croatia yang akan menyertai Kesatuan Eropah pada 2013, kini lebih tertumpu ke arah bagaimana hendak keluar dari kelemut ekonomi yang malap dan rapuh.

"Croatia tidak berada dalam huru-hara tetapi berhadapan dengan situasi yang bahaya dan berada di persimpangan jalan," kata Milanovic dalam ucapannya sejurus sebelum mengangkat sumpah jawatan.

Milanovic telah dipilih sebagai pemimpin Parti Sosial Demokrat pada 2007 sebagai penganti kepada mentornya, Ivica Racan, bekas perdana menteri yang meninggal dunia kerana kanser.

Beliau adalah pemimpin SDP yang kedua sejak Croatia mengalami transformasi politik hasil kejatuhan empayer Komunis dua dekad yang lalu yang menyaksikan Yugoslavia berpecah sebagai sebuah negara.

Milanovic dilahirkan di Zagreb pada 30 Oktober 1966. Beliau muncul sebagai pelajar undang-undang terbaik ketika di universiti dan sangat meminati sukan tinju.

Sejurus selepas tamat belajar, beliau menyertai perkhidmatan awam di Kementerian Luar Croatia antara 1991-1995 ketika negara itu masih lagi berperang selepas keruntuhan Yugoslavia.

Selepas konflik itu berakhir, Milanovic berkhidmat selama tiga tahun bersama Kesatuan Eropah dan Nato di Brussels, Belgium sebelum menyertai SDP pada 1999.

Artikel Berikut

Artikel Lain