suria

Britain Adalah Sebuah Negara Kristian - PM

LONDON: Britain adalah sebuah negara Kristian dan oleh yang demikian ia tidak seharusnya berasa takut untuk mempertahankan nilai-nilai yang ditegakkan oleh agama tersebut untuk membendung keruntuhan moral yang semakin berleluasa, demikian kata Perdana Menteri, David Cameron.

Kenyataan seperti itu jarang-jarang dilakukan oleh seorang perdana menteri British dan ini telah menarik perhatian pelbagai pihak.

Kata Cameron, rakyat Britain untuk sekian lamanya membiarkan masyarakat mereka melakukan apa sahaja sehingga mencetuskan sikap pasif yang keterlaluan dan ini dapat disaksikan ketika berlakunya rusuhan Ogos lalu.

"Kita adalah sebuah negara Kristian...dan kita tidak seharusnya berasa takut untuk menyatakan demikian," jelas Cameron pada satu rapat umum di Oxford, sebagai memperingati ulang tahun ke-400 Kitab Bible King James.

"Kitab Bible telah membantu negara ini membentuk nilai-nilai tertentu dan juga nilai-nilai moral yang akhirnya menjadikan Britain wajah yang ia miliki sekarang.

"Dan nilai serta moral ini perlu kita pertahankan dan laungkan sekarang jika kita tidak mahu melihat kejatuhan nilai akhlak yang semakin teruk sekarang," katanya lagi.

Cameron menyifatkan dirinya sebagai seorang anggota Gereja England yang komited walau pun tidak alim.

"Bertanggungjawab, bekerja keras, membuat kerja amal, kasih sayang, belas kasihan terhadap insan lain, berkorban, rasa kasih, bangga terhadap kerja-kerja ke arah kebaikan dan menegakkan obligasi sosial ke atas satu sama lain, ahli keluarga kita dan masyarakat kita adalah nilai-nilai yang kita banggakan selama ini.

"Dan ini juga adalah nilai-nilai yang dibawa oleh agama Kristian dan kita tidak harus berasa takut untuk mengakuinya," tegas Cameron.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain