suria

Stesen Keretapi Tanjung Pagar Diwarta Sebagai Monumen Kebangsaan

SINGAPURA: Kerajaan Singapura akan mengekal dan memelihara bangunan Stesen Keretapi Tanjung Pagar dan Bukit Timah di sini kerana kedua-duanya mempunyai unsur sejarah yang signifikan.

Untuk tujuan itu, Majlis Pemeliharaan Monumen (PMB) mewartakan Stesen Keretapi Tanjung Pagar sebagai monumen kebangsaan, manakala Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) mewartakan Stesen Keretapi Bukit Timah sebagai bangunan yang dipulihara, kata pihak berkuasa terbabit dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Ketika pemukiman pada 24 Mei lepas, Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong dan rakan sejawatan dari Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan dipindahkan dari Tanjung Pagar ke Pusat Pemeriksaan Keretapi Woodlands (WTCP) menjelang 1 Julai 2011.

Kedua-dua pemimpin itu juga bersetuju agar bangunan Terminal Penumpang Stesen Tanjung Pagar dan Stesen Keretapi Bukit Timah dipulihara atas faktor sejarah.

Dengan perpindahan stesen keretapi KTMB dari Tanjung Pagar ke WTCP pada 1 Julai ini, kedua-dua stesen terbabit akan berhenti beroperasi sebagai kemudahan keretapi KTMB.

Pengarah PMB Jean Wee berkata pewartaan Stesen Keretapi Tanjung Pagar itu adalah untuk mengiktiraf keunikan struktur dan kewujudannya sebagai stesen keretapi utama di Singapura.

Beliau berkata sejak 80 tahun lepas, stesen KTMB itu menjadi satu-satunya nadi pengangkutan keretapi yang menghubungkan Singapura dan Malaysia.

"Stesen itu akan terus menjadi mercu tanda sekalipun penggunaannya berbeza, sebagai mencerminkan keutuhan hubungan dua hala antara kedua-dua negara dan juga rakyatnya," kata beliau.

Pewartaan Stesen Keretapi Tanjung Pagar menjadikan jumlah monumen kebangsaan Singapura meningkat kepada 64. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain