suria

JCorp Mahu Terokai Pasaran Ekonomi Digital

KOTA ISKANDAR: Johor Corporation (JCorp), syarikat milik kerajaan negeri, merancang memperluaskan portfolio perniagaannya melalui Perancangan Strategik 2017-2022 syarikat.

Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata antara bidang yang diintai ialah ekonomi digital berbanding perniagaan sekarang yang menumpukan kepada sektor perladangan, kesihatan, makanan dan perkhidmatan restoran, pembangunan industri serta hartanah.

"Kita harap Perancangan Strategik 2017-2022 ini berjaya dilaksanakan sekali gus melonjakkan JCorp, bukan sahaja sebagai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) paling berjaya malah menjadi identiti, kebanggaan serta aspirasi buat seluruh Bangsa Johor," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan Bajet Johor 2017 pada persidangan Dewan Undangan Negeri, di sini, Ahad.

Perancangan strategik itu mengandungi beberapa pelan antaranya mengembangkan operasi sektor perladangan Kulim (M) Berhad, anak syarikat JCorp di Indonesia kepada sasaran keluasan tanaman sekurang-kurangnya 75,000 hektar menjelang 2022.

JCorp juga akan berperanan aktif dalam membantu program Sekuriti Makanan menerusi program penternakan lembu (integrasi  and  fidlot) dan pengembangan penanaman nanas MD2.

Dalam sektor kesihatan, JCorp melalui KPJ Healthcare Berhad, menyasarkan peningkatan jumlah hospital pakar kepada sekurang-kurangnya 33 buah menjelang 2022, di samping meninjau peluang-peluang perniagaan baharu.

"Ini termasuk menembusi negara baharu selain memantapkan operasi luar negara sedia ada di Indonesia, Thailand dan Bangladesh serta melakukan kerjasama strategik dengan kepakaran luar negara seperti Korea Selatan," kata Mohamed Khaled.

Beliau yang merupakan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas berkata pada akhir 2022, perancangan strategik itu diharap dapat meletakkan kewangan JCorp dan kumpulannya dalam kedudukan kukuh, dengan pendapatan JCorp disasarkan sebanyak RM2 billion manakala keuntungan sebelum cukai mencecah RM800 juta.

"Di peringkat kumpulan pula, kita menyasarkan pendapatan kumpulan JCorp mencecah RM 20.3 bilion dengan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM2.5 bilion," katanya.-- Bernama

JCorp, Mohamed Khaled Nordin, GLC

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain