suria

Pahang Tarik Pelaburan RM47.7 bilion, Tawar 48,325 Peluang Pekerjaan - ECERDC

KUALA LUMPUR: Pahang terus berjaya menarik pelabur, menjana pelaburan bernilai RM47.7 bilion setakat Julai 2016 serta menawarkan lebih 48,000 peluang pekerjaan.

Menurut kenyataan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), empat kawasan perindustrian negeri itu iaitu Kawasan Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP), Kawasan Perindustrian Halal Gambang, Kawasan Perindustrian Automotif Pekan, serta, Taman Bio Bersepadu Kuantan, akan kekal sebagai pemacu pelaburan utama.

"Secara terkumpul, kawasan berkenaan menerima pelaburan bernilai RM12.5 bilion yang telah diluluskan bagi tempoh antara 2007 dan Julai 2016, dan dijangka menawarkan 13,760 peluang pekerjaan.

"MCKIP menerajui prestasi itu dengan menarik pelaburan dengan hampir RM11.1 bilion setakat ini yang telah diluluskan, dan menawarkan 12,415 pekerjaan," menurut ECERDC.

Sementara itu, dalam sektor pelancongan, antara beberapa pelaburan baharu bernilai RM61.6 juta yang diluluskan baru-baru ini termasuk pembinaan hotel peranginan empat bintang di Kuala Rompin oleh Lanjut Golf Sdn Bhd dan sebuah hotel baharu di Kuantan oleh Skytree Hotel Sdn Bhd.

"Dua pembangunan baharu ini diunjur menawarkan hampir 200 peluang pekerjaan baharu," menurut ECERDC.

Seiring dengan model baharu ekonomi Malaysia yang memberi penekanan seimbang kepada ekonomi modal dan ekonomi rakyat, ECERDC telah meneruskan program pembangunan modal insan dengan menumpukan kepada kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah.

"Setakat ini, kira-kira 34,638 individu memperoleh manfaat, termasuk 7,460 usahawan mikro yang dibimbing melalui program pembangunan modal insan.

"Usahawan ini telah menjana lebihan 10,444 pekerjaan bagi masyarakat setempat, menunjukkan faedah kesan limpahan daripada usaha pembangunan modal insan tersebut," menurut ECERDC. - BERNAMA

Pahang, Pelaburan, Pekerjaan, ECERDC

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain