SETIAP kali tiba hari pembentangan Belanjawan Negara, tumpuan rakyat Malaysia bukan sahaja terarah kepada isi kandungan bajet dan manfaat yang akan diterima kelak.
Antara perkara yang dinanti-nantikan adalah penampilan figura penting iaitu Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan di Parlimen.

OOTD lengkap Anwar sempena pembentangan Belanjawan 2026.
Segala butiran seperti warna dan rekaan baju Melayu, kain samping, songkok, malah jenama kasut turut menjadi bualan hangat di media sosial.
Untuk edisi keempat Belanjawan Madani bagi tahun 2026, Datuk Seri Anwar Ibrahim tampil segak dan lengkap berbaju Melayu rona biru cair, menepati jangkaan segelintir warga maya yang 'masak' dengan pilihan pemimpin berkenaan kerana dilihat menggemari warna lembut seperti tiga edisi sebelumnya.
Melengkapkan penampilan, Anwar memakai songkok buatan asal dari Johor, butang baju Melayu dari Pahang, samping tenunan dari Penjara Marang dan capal terkenal dari Pulau Pinang, iaitu Capal Jago Kepala Batas.

Penampilan Anwar ketika membentangkan belanjawan pada tiga edisi sebelumnya.
Sementara itu, beg yang digunakan untuk membawa teks Belanjawan 2026 pula merupakan buatan istimewa pereka orang kurang upaya (OKU) yang bernaung di bawah dua perusahaan sosial tanah air, Heart Treasures dan Tanoti.
Anwar mula membentangkan Belanjawan 2026 tepat pukul 4 petang, Jumaat di Dewan Rakyat.
Ini merupakan belanjawan sulung yang menyemangati Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), dengan menetapkan sembilan Tekad Utama berpaksikan tiga tonggak Ekonomi Madani.


