suria

Nampak menggiurkan di mata orang, kehadiran Mbah Jenab ubah sikap suami dan anak... bau cempaka putih, kemenyan akhirnya bongkar rahsia

Bau bunga cempaka dan kemenyan yang menusuk hidung membuatkan Suraya sedar ada sesuatu tidak kena tentang pembantu rumahnya.

JIKA dihitung sudah hampir lima orang pembantu rumah Kamarul bersilih ganti dan paling lama yang pernah bekerja dengannya pun setakat tiga bulan.

Bukan kerana tidak berpuas hati dengan cara kerja mereka tetapi sikap cemburu isterinya, Suraya membuatkan dia terpaksa memulangkan pembantu rumah kepada agensi dan minta digantikan dengan orang lain.

ARTIKEL BERKAITAN: Sakit belakang dialami budak 10 tahun ini bukan biasa-biasa, cubaan berubat punca Rayyan berubah... kata ustaz ada yang 'menumpang' kerana dendam

Kamarul buntu dan fikirannya berkecamuk apabila Suraya minta pembantu rumah yang sudah berusia. Di mana hendak mencari bibik tua? Agensi pekerja asing pun hanya membekalkan pembantu rumah yang muda, paling tua pun tidak melebihi usia 45 tahun.

"Isteri seorang wanita berkerjaya dan sering ke luar negara untuk urusan perniagaan. Jadi dia tidak mahu keperluan saya dan anak kami diuruskan oleh pembantu yang muda dan cantik. Bimbang saya digoda oleh bibik.

"Kami ada pembantu rumah warga Filipina tetapi cemburu punya fasal, dia suruh saya pulangkan kepada agensi kerana tidak mahu wanita itu menggoda saya sepanjang ketiadaannya," katanya.

Sehinggalah pada suatu malam, dalam keadaan hujan lebat, loceng rumahnya berbunyi dan apabila pintu dibuka, kelibat seorang wanita tua warga Indonesia terpacak di hadapan pagar kediaman mereka.

1459260

Wajah pembantu rumah yang sudah tua dilihat muda dan cantik oleh orang lain.

Kasihan melihat wanita itu yang kebasahan, Kamarul membuka pintu pagar dan memintanya masuk ke dalam rumah. Tak sampai hati Kamarul melihat keadaan wanita dalam lingkungan 60 tahun yang memperkenalkan dirinya sebagai Mbah Jenab itu kesejukan.

Cerita Mbah Jenab, dia tersesat ketika mencari saudaranya sehingga tidak tahu dia berada di mana, malah dia telah tiada arah tujuan.

"Mendengarkan kisah sedih wanita itu, isteri minta Mbah Jenab tinggal bersama kami dan bekerja sebagai pembantu rumah. Kehadiran wanita itu dilihat sebagai penyelesaian kepada masalah dihadapi.

"Saya pun tidak perlu pening kepala mencari wanita tua sebagai pembantu rumah, masalah selesai," ceritanya.

Sejak Mbah Jenab bekerja dengan mereka, pasangan suami-isteri itu cukup kagum dengan kudrat wanita itu yang luar biasa. Semua keperluan mereka terjaga selain semua kerja rumah dilakukan tanpa sebarang rungutan.

Tubuh menggiurkan, wajah cantik Mbah Jenab

Namun segala-galanya berubah apabila Maya, rakan baik Suraya bertandang ke rumah sebelum mereka dihampiri Mbah Jenab yang membawa dulang berisi air.

researchers-put-volunteers-in-a-haunted-house-to-study-threat-response-357687-1280x720

Pelbagai gangguan diterima Suraya.

Terbeliak mata Maya melihat Mbah Jenab. Matanya masih melorot ke arah sosok wanita itu seakan-akan tidak percaya dengan apa dilihatnya.

Suraya terkejut apabila Maya memuji kecantikan Mbah Jenab. Teleng kepala Suraya melihat kelibat pembantu rumahnya itu hendak memastikan apa yang dikatakan teman baiknya itu.

"Maya kata saya gila sebab berani mengambil seorang pembantu rumah yang cantik dan muda. Malah dia siap memuji Mbah Jenab mempunyai bentuk badan menggiurkan dan senyuman yang manis," ujarnya.

Maya berpesan kepada Suraya agar berhati-hati kerana bimbang dia sudah terkena buatan sehingga tidak dapat melihat perkara yang sebenar dan ada cubaan untuk meruntuhkan rumah tangganya.

Tidak lelap mata Suraya memikirkan kata-kata Maya. Timbul perasaan takut di dalam hatinya, kalau-kalau betul apa dikatakan oleh sahabat baiknya itu.

Dalam sibuk dia mengelamun, Suraya tiba-tiba tercium bau haruman bunga cempaka putih yang cukup banyak dikaitkan dengan alam mistik. Suraya mula ketakutan dan berfikir yang bukan-bukan.

Suami juga banyak berubah. Mulutnya tidak henti-henti memuji Mbah Jenab, masakannya sedap, kerja bagus dan pandai melayannya.

SURAYA

"Tegak bulu roma saya apabila mencium bau itu dan saya cuba gerak suami tetapi dia seperti tidur mati, langsung tidak bergerak. Bau itu pula semakin kuat, menyengat ke dalam rongga hidung," katanya.

Suraya beranikan diri turun ke tingkat bawah rumah, semakin dia menghampiri ruang tamu, semakin kuat bau bunga kantil menusuk ke dalam hidung yang akhirnya membawanya ke bahagian dapur.

Ketika di dapur, Suraya mendapati pintu bilik Mbah Jenab terbuka dan bau menyengat itu sememangnya datang dari arah bilik wanita itu.

"Belum sempat saya menolak pintu biliknya, ia tiba-tiba tertutup dengan sendirinya sebelum saya lari naik ke tingkat atas. Hampir tiga hari kejadian serupa berlaku dan apabila saya beritahu suami, dia tidak percaya.

"Suami tuduh saya mengada-adakan cerita dan sejak itu suami juga sudah banyak berubah. Mulutnya tidak henti-henti memuji Mbah Jenab, masakannya sedap, kerjanya bagus dan pandai melayannya," ujarnya.

Ustaz kata suami dan anak kena sihir

Tidak mahu perkara yang berlaku itu berlarutan, Suraya mengambil keputusan berjumpa seorang ustaz dan seperti sangkaannya, benarlah suami dan anaknya telah menjadi mangsa sihir Mbah Jenab.

553

Ustaz mengesahkan suami dan anaknya terkena sihir.

Kata ustaz, suami dan anaknya telah disihir sehingga sudah mula melupakan dirinya dan ia turut menceritakan perubahan sikap mereka sejak kebelakangan ini.

Setibanya di rumah, Suraya banyak mengelamun sebelum tiba-tiba tercium bau kemenyan dan tanpa membuang masa dia terus menyerbu ke bilik pembantu rumahnya namun mendapati wanita itu tiada di dalam biliknya.

"Saya jumpa bekas kemenyan yang sedang dibakar malah ada semangkuk telur rebus, ayam bakar, pulut kuning dan kopi pekat hitam seperti ingin menjamu sesuatu. Mengucap panjang saya.

"Tetapi peliknya kelibat Mbah Jenab tidak kelihatan. Ketika saya menjerit memanggil nama suami, sayup-sayup kedengaran suara orang mengilai dari arah luar tingkap.

"Longlai lutut saya apabila saya pandang ke arah tingkap, ada sesuatu sedang memandang sebelum saya pengsan," ceritanya.

Ketika sedar, ustaz sudah berada di rumahnya dan memulakan rawatan memulihkan semangat dan membina pendinding rumah agar terpelihara daripada ancaman makhluk halus.

"Bantuan ustaz berhasil kerana sejak itu kelibat Mbah Jenab tidak lagi kelihatan malah suami dan anak beransur-ansur pulih dan keadaan mereka kembali normal dan tidak lagi menjauhkan diri atau mencari pembantu rumah itu lagi.

"Sejak itu saya serik mengambil pembantu rumah dan kini saya cuba seimbangkan kerjaya dan keluarga agar mereka tidak terabai supaya tidak hanya mengharapkan bantuan pembantu rumah," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berkaitan

Artikel Lain