Pasukan Sorak KL2017 Gamatkan Venue - Sukan SEA 2017 | mStar

Pasukan Sorak KL2017 Gamatkan Venue

Pasukan sorak sukan SEA ke-29 bersedia menggamatkan suasana. - Facebook/KuanXiu Sim

KUALA LUMPUR: "Go go go go go go go Malaysia go!...Walau menang atau kalah kita bangkit bersama".

Sorakan itu antara yang jelas kedengaran di venue Sukan SEA ke-29, ketika penyokong melihat aksi dipamerkan atlet kesayangan mereka pada temasya yang sedang rancak berlangsung ketika ini.

Bunyi 'stick balloon' berserta sorakan yang bergema di segenap ruang venue itu bukan saja menggamatkan suasana Sukan SEA kali ini, malah ia secara tidak langsung mampu membantu atlet untuk menampilkan aksi terbaik mereka ketika sedang beraksi demi mengejar pingat yang diidamkan.

Gelagat pasukan sorak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), kelolaan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) itu ternyata mencuri tumpuan penyokong ketika mereka disajikan aksi atlet atau pasukan bertanding di gelanggang.

Pengarah Cawangan Pembangunan Ekonomi Bahagian Pembangunan Belia KBS, Azura Abidin berkata, penubuhan pasukan sorak itu bertujuan meniup semangat kontinjen negara yang sedang berjuang untuk merealisasikan impian 111 pingat emas pada temasya kali ini.

Pasukan sorak hasil cetusan idea Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar itu terdiri daripada 2,100 peserta, merangkumi pelajar sekolah dan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) sekitar Lembah Klang selain pasukan Majlis Sukan Negara, TM Team Malaysia dan Famemas Malaysia.

"Saya cukup kagum dengan semangat dipamerkan pasukan sorak ini yang mencetuskan keghairahan terhadap penyokong untuk bangkit bersama menyemarakkan lagi semangat kepada atlet kita," katanya kepada Bernama.

Katanya, kementerian menerima sambutan cukup menggalakkan daripada sekolah dan juga IPT terbabit ketika mereka membuat gerakan untuk menarik pelajar terbabit sama dalam memeriahkan lagi temasya sukan terbesar di Asia Tenggara itu.

Beliau berkata, pencarian peserta dilakukan sejak awal tahun melalui jemputan yang diedarkan kepada pihak terbabit, termasuk sekolah dan IPT selain melaksanakan dua siri latihan yang dibantu kira-kira 30 tenaga pengajar sebelum Sukan SEA berlangsung.

"Gema sorakan pasukan ini tidak akan terhenti pada Sukan SEA ke-29 saja kerana kami akan meneruskan sokongan pada Sukan Para ASEAN ke-9 bulan depan," tambahnya.

Azura berkata, pihaknya turut menyediakan pasukan sorak untuk menyokong atlet dan kontinjen negara lain jika ada permintaan untuk berbuat demikian.

Sementara itu, Muhammad Rasydan Ayob, 21, menyifatkan penyertaannya dalam pasukan sorak Sukan SEA kali ini sebagai peluang sekali seumur hidup yang tidak harus dilepaskan untuk turut sama merasai debaran menonton dan memberi sokongan padu kepada atlet negara.

"Inilah peluang terbaik bagi saya untuk menyumbang sesuatu kepada atlet kita di laman sendiri kerana tahun ini Malaysia menjadi tuan rumah Sukan SEA dan kita tidak tahu bila lagi negara akan kembali menjadi hos.

"Jika atlet atau pasukan yang disorak ketika itu meraih emas, perasaannya cukup teruja kerana menjadi sebahagian daripada penyokong yang menyaksikan detik manis itu di depan mata," kata penuntut jurusan kejuruteraan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) itu.

Seorang lagi penuntut UIA, Umie Azwa Wan Mohd Zaid, 23, berkata, pengalaman menyertai pasukan sorak itu sangat berharga dan menyeronokkan kerana dapat menaikkan semangat atlet negara di hadapan penyokong sendiri.

"Saya sangat bertuah kerana terpilih menyertai pasukan ini dan sangat gembira dapat tonton serta sokong atlet kita secara 'live' kerana sebelum ini hanya mampu menyokong dari rumah saja," kata pelajar tahun akhir jurusan seni bina landskap itu.

Sukan SEA ke-29 bermula secara rasmi hari ini sehingga 30 Ogos membabitkan penyertaan 11 negara Asia Tenggara, namun pertandingan acara sukan telah bermula sejak Isnin lalu.

Sukan Para ASEAN ke-9 pula berlangsung pada 17 hingga 23 September. - Bernama

KL2017

Artikel Sebelum

Bangkit Bersama KL2017

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Formula Menjadi!

Klik

default image

Perahu naga bakal 'membelah' Tasik Putrajaya, 90 pasukan korporat berentap rebut gelaran juara!

SEMUA peserta nampaknya tidak sabar untuk menyahut cabaran bagi merebut gelaran juara perlumbaan perahu naga di Tasik Putrajaya.

default image

Culas bayar cukai kena penalti 300 peratus, ketahui 10 fakta penting Program Khas Pengakuan Cukai Secara Sukarela

HANGAT diperkatakan mengenai isu melunaskan cukai dan masih ada yang culas untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai pembayar cukai. 

default image

Jom kongsi idea! Penduduk bandar diajak beri maklum balas draf Pelan Pembangunan KL

TRAJEKTORI perumahan dan komersial Kuala Lumpur diberikan perhatian dengan mendraf Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2040 (PPKL 2040).

default image

WKB 2030: Ke arah masa depan rakyat dan negara yang lebih cerah

WAWASAN ini menjamin kemakmuran dan kekayaan akan dinikmati bersama tanpa mengabaikan tanggungjawab membela masyarakat bandar dan desa yang berpendapatan rendah serta miskin.

default image

CPA Australia platform berkualiti, pantas capai kelayakan perakaunan diiktiraf global

JIKA anda mempunyai kelayakan yang sewajarnya dalam industri perakaunan, perbankan dan kewangan, ia boleh memberikan prospek kerja dan kepelbagaian projek kepada anda.

Artikel Lain