suria

Program Satu Pingat, Satu Pokok

Khairy Jamaluddin (lima, kanan) bersama isteri Nori Abdullah (tiga, kiri) dan anaknya Raif Averroes Khairy pada Majlis Pelancaran Program Satu Pingat, Satu Pokok diperkarangan KL Sports City pada Rabu. Foto: Bernama

KUALA LUMPUR: Bagi memperkasakan kempen Inisiatif Hijau sempena penganjuran Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para Asean kesembilan (KL2017), sebatang pokok akan ditanam bagi setiap pingat emas yang dimenangi atlet kebangsaan pada temasya sukan berkenaan.

Ia merupakan program terbaru Jawatankuasa Pengelola Malaysia (Masoc) yang dinamakan 'Satu Pingat, Satu Pokok' bertujuan mengimbangi jumlah karbon yang dilepaskan sepanjang KL2017 berlangsung.

"KL2017 bukan semata-mata landasan memburu pingat, ia juga adalah platform untuk perlaksanaan program legasi yang mampu meninggalkan impak positif kepada generasi muda."Inisiatif Hijau, contohnya, telah dilaksanakan untuk menghebah, mengajar dan menerapkan nilai-nilai murni mengenai alam sekitar," jelas Khairy selepas mendahului aktiviti menanam pokok di kawasan Mini Forest yang terletak di Bandar Sukan Kuala Lumpur sebagai simbolik pelancaran yang juga merupakan fasa pertama daripada empat fasa dalam program tersebut.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Masoc, Datuk Seri Zolkples Embong, Pengerusi Landskap Malaysia, Tun Jeanne Abdullah dan Pengerusi Eksekutif SCGM Berhad, Datuk Seri Lee Hock Seng.

Fasa kedua program tersebut adalah pemberian anak-anak pokok kepada para atlet di podium sewaktu pingat dikalungkan pada KL2017 diikuti fasa ketiga iaitu acara menanam pokok bagi setiap pingat emas yang dimenangi atlet negara.

Sementara fasa keempat pula adalah aktiviti penanaman anak pokok di beberapa kawasan di bawah Pelan Induk Rangkaian Koridor Ekologi Central Forest Spine (CFS) bermula dari Oktober ini sehingga Mac 2018 yang melibatkan sejumlah 5,249 anak pokok.-Bernama

KL2017

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain