suria

Dinobat Pelajar Terbaik, Roslinda akur beraya di perantauan selepas tamat pengajian di Jerman - "Hari-hari call kampung. Mak selalu tanya bila nak balik"

Roslinda dinobatkan Pelajar Terbaik dalam kursus yang diikutinya di Jerman.

BEKAS atlet negara yang juga juara bertahan acara lompat bergalah wanita, Roslinda Samsu menjadi perhatian selepas dianugerahkan sebagai Pelajar Terbaik Diploma Kejurulatihan.

Roslinda, 37, yang menggantungkan butnya pada 2012 antara atlet negara berprofil tinggi sepanjang kariernya dengan mencatat kejayaan mengharumkan nama negara dalam acara lompat galah wanita.

Persaraannya dalam acara itu, sedikit memberi kesan memandangkan sehingga kini tiada pengganti yang boleh mengambil tempatnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Berlatih di luar negara bukan 'tiket' mudah buat Kudik di tanah air, “Suatu hari nanti jersi negara akan jadi milik saya”

Karier sebagai guru

Menurut bekas atlet kelahiran Padang Terap, Kedah ini sebaik sahaja bersara di lapangan sukan, dia memilih tugas pendidik sebagai karier baharunya.

"Saya menjadi guru sukan di Sekolah Sukan Malaysia Pahang dengan mencurah ilmu kesukanan kepada bakat-bakat baharu.



Roslinda bersama rakan-rakan sekuliahnya di Mainz, Jerman.

"Kalau sebelum ini banyak menghabiskan masa menjalani latihan, kini saya lega kerana dapat berkongsi ilmu dengan murid-murid sekolah.

"Ilmu yang saya ada itu tidak terhad di situ saja memandangkan tahun lalu saya ditawarkan untuk menyambung pengajian dalam bidang kejurulatihan olahraga di Universiti Johannes Gutenberg, Mainz.

"Memang peluang ini sangat besar bagi saya untuk membantu negara dalam bidang ini.

"Alhamdullilah, bulan ini saya berjaya menamatkan pengajian dengan baik dan menggenggam diploma yang memang penuh dengan cabaran sepanjang setahun berada di sini," kongsinya ketika dihubungi mStar.

Cabaran di Mainz

Berkongsi pengalaman di Mainz, Roslinda memberitahu dia berada di situ sejak Jun tahun lalu.

"Dalam kelas saya terdapat seramai sepuluh orang dari pelbagai negara seluruh dunia. Dan sudah tentu bahasa menjadi cabaran paling penting ketika di sini.



Roslinda mengakui menjalani latihan keras dijalankan sepanjang setahun mengikuti kursus kejurulatihan olahraga di Jerman.

"Semua subjek dalam bahasa Jerman, dan untuk tidak ketinggalan, saya terpaksa belajar lebih masa untuk memahami setiap perkataan.

"Kamus menjadi teman baik di sini, dan lama kelamaan saya sudah boleh faham bahasa Jerman dan bertutur. Kami tidak ada pilihan lain selain belajar bahasa ini.

"Selain itu, pengajian di sini bukan hanya tertumpu teori sahaja, sebaliknya kami berlatih seperti seorang atlet. Rutin latihan seperti ketika saya mewakili negara dulu.

"Kalau ikutkan program latihan di s, saya boleh kembali bergelar atlet kerana tahap kecergasan menjadi salah satu perkara asas di sini.

"Dengan segala keringat dan tenaga, syukur kami semua lulus dan dapat menamatkan pengajian," ujar pemegang pingat emas Sukan SEA 2005,2007,2009 dan 2011 ini.

Jelasnya, dia akan menggunakan ilmu yang dipelajari ini membantu program pembangunan yang sedia ada di negara.

"Saya ingin melihat lebih ramai atlet-atlet muda dalam sukan lompat bergalah ini di peringkat akar umbi.

"Saya juga berterima kasih kepada Majlis Sukan Negara MSN), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOAM) yang memberi sokongan penuh sepanjang pengajian saya ini.



Roslinda berjaya cemerlang dalam kursus yang diikuti di Jerman.

Beraya di Jerman

Jelas Roslinda, walaupun pengajiannya sudah tamat beberapa minggu lalu, dia masih belum boleh pulang ke Malaysia.

Ia berikutan sekatan penerbangan susulan penularan wabak Covid-19.

"Dah beberapa kali pihak universiti mencari tiket pulang, malangnya masih belum ada penerbangan balik.

"Jadi terpaksalah saya dan sembilan rakan sekuliah lain kekal di sini. Pelajar-pelajar lain termasuk dari Afrika, Asia dan Amerika Latin.

"Dan disebabkan itu juga, saya terpaksa menyambut Aidilfitri di sini. Hakikatnya tiada yang istimewa dan seperti hari-hari biasa sahaja," katanya.



Roslinda antara atlet berprofil tinggi sepanjang mewakili negara sebelum bersara 2012.

Tambah Roslinda, dia tidak sabar untuk pulang bertemu keluarga.

"Hari-hari 'call' kampung. Mak selalu tanya bila nak balik, bila nak balik. Memang rindu, tetapi perlu bersabar sedikit lagi sehingga ada penerbangan balik," ujarnya.

Sabagai rekod, sehingga hari ini, masih tiada lagi atlet wanita yang berjaya melepasi ketinggian empat meter selepas Roslinda mengumumkan persaraannya pada 2012.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain