suria

Gantung But, Cech Umum Keputusan Dua Minggu Lagi

Petr Cech.

PETR Cech hanya akan mengumumkan keputusannya sama ada mahu bersara daripada pentas antarabangsa dalam tempoh beberapa minggu akan datang selepas Republik Czech tersingkir awal pada saingan Euro 2016.

Penjaga gol Arsenal itu beraksi pada kejohanan utama kelimanya tetapi gagal membantu pasukan tersebut meneruskan kemaraan ke pusingan kalah mati selepas menamatkan saingan peringkat Kumpulan D di tangga keempat dengan mengutip satu mata.

Cech yang sebelum ini menyatakan hasrat akan bersara daripada perlawanan antarabangsa selepas Euro 2016 memberitahu beliau masih belum membuat sebarang keputusan.

Beliau berkata keputusan mengenai perkara itu hanya akan dimaklumkan dalam tempoh dua minggu lagi.

"Tiada apa yang berubah berbanding dengan apa yang saya katakan pada persediaan awal. Sebaik sahaja saya kembali tenang selepas kekecewaan ini, saya akan duduk dan berfikir panjang mengenai apa yang akan dilakukan.

"Saya akan cuba membuat keputusan secepat mungkin kerana permulaan kelayakan baharu (Piala Dunia) supaya pengurus tahu lebih awal," katanya.

Cech, 34, beraksi buat pertama kalinya di pentas antarabangsa pada 2002 dan merekodkan lebih 120 kap bersama Republik Czech.

Bagaimanapun Cech menegaskan kekecewaan di Perancis tidak mempengaruhi keputusannya untuk menggantung but.

"Keputusan perlawanan itu bagi saya tidak memainkan sebarang peranan. Keputusan saya bukan disebabkan penyingkiran tersebut tetapi lebih kepada perasaan saya," kata Cech.

Artikel Lain