suria

Pusat Latihan UATC diperkenal di Malaysia, perkasa industri permainan

Latihan ini buka peluang kepada penerokaan ruang perniagaan baharu dalam ekosistem kandungan kreatif digital. -Gambar Hiasan

INDUSTRI pembangunan permainan tempatan bakal diperkasa menerusi pengenalan pusat latihan, Unreal Authorised Training Centre (UATC) di Malaysia.

Menerusi inisiatif itu, UATC dan Unreal Authorized Instructors (UAI) akan membantu melatih generasi baharu menerusi kursus dalam industri seperti permainan, seni bina, media, hiburan, automotif, latihan dan simulasi, serta penyelidikan perubatan.

Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan APlus yang merupakan rakan kongsi pendidikan Epic Games bagi rantau ASEAN untuk membangun dan menjalinkan kerjasama dalam latihan akademik Unreal Engine (UE).

Bagi yang tertanya-tanya, UE merupakan alat penciptaan tiga dimensi (3D) termaju di dunia yang dibangunkan oleh Epic Games.

Alat ini membolehkan pembangun dan pencipta permainan merentas industri menerbitkan kandungan dan pengalaman tiga dimensi (3D) masa nyata yang lebih bebas dan fleksibel.

Latihan dan bimbingan

file7iuybtnnvdjl6jepab

UATC bakal membawa banyak manfaat buat pemain industri ini di Malaysia.

Dalam pada itu, MDEC bersama-sama Epic Games, menerusi APlus juga bakal memperkenalkan projek latihan dan program pengurusan yang merangkumi latihan kemahiran vokasional teknikal serta bimbingan untuk peringkat permulaan dalam bidang permainan, Augmented Reality (AR), Virtual Reality (VR) dan Extended Reality (XR).

MDEC teruja untuk memperkenalkan program ini di Malaysia bagi membantu mengasah bakat sedia ada dan sekali gus meningkatkan daya saing dalam industri kandungan digital.

Selain melatih dan membangunkan bakat kreatif digital tempatan, latihan ini juga turut membuka peluang kepada penerokaan ruang perniagaan baharu dalam ekosistem kandungan kreatif digital.

Malah, usaha ini sejajar dengan matlamat Malaysia Digital (MD) yang bertujuan mempercepatkan penggunaan digital dalam kalangan rakyat serta melahirkan usahawan tempatan dan global bagi meningkatkan sumbangan ekonomi digital dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

Memandangkan permintaan untuk kemahiran masa nyata terus meningkat di Malaysia, pengenalan UATC ini akan berfungsi sebagai sumber tambahan bagi merapatkan jurang bakat teknologi dan memberi peluang kepada bakat tempatan untuk mengasah kemahiran dan seterusnya meningkatkan keupayaan industri permainan negara.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berkaitan

Artikel Lain