suria

Kejohanan Toyota GR Velocity Gran Turismo 7 di Malaysia, hadiah RM20,000 jadi rebutan!

Kejohanan Esports Toyota GR Velocity Gran Turismo 7 berlangsung dari Julai hingga Ogos 2022.

PERTANDINGAN esport Toyota yang berlangsung menerusi permainan Gran Turismo 7 (GT7) kini tersedia untuk pemain di Malaysia.

Dikenali sebagai Kejohanan Esports GR Velocity, ia kini memasuki musim kelima walaupun saingan global baru berada di tahun keempat.

Kejohanan ini menawarkan peluang untuk menyertai Pusingan Akhir Piala Toyota Gazoo Racing GT dengan hadiah tempat pertama bernilai $4,500 (RM20,000).

Ia terbuka kepada sesiapa sahaja yang bermastautin secara sah di Malaysia semasa kejohanan berlangsungbermula Julai hingga Ogos 2022.

Mereka yang layak ialah pemastautin tetap atau warganegara; pemegang permit atau visa untuk bekerja atau belajar di negara ini yang berumur 14 tahun dan ke atas.

Sebelum itu pemain mesti mendaftar di laman web rasmi pertandingan dan kemudian memilih sesi kelayakan yang mereka ingin sertai.

ARTIKEL BERKAITAN: Wow! Free Fire kolaborasi dengan Justin Bieber, satu lagu eksklusif akan dikeluarkan

Semasa proses itu nanti mereka berpeluang untuk menetapkan masa pusingan di Willow Springs Big Willow dalam Toyota GR Yaris RZ menerusi sesi khas dalam talian GT7.

Hampir kesemua slot kini telah dipenuhi, sehingga tarikh tutup pertandingan pada 19 Julai.

Anda juga boleh menyertai pusingan kelayakan secara peribadi di sekolah perlumbaan Akademi Axle di Sunway Serene di Petaling Jaya.

Sebaik sahaja semua proses peringkat kelayakan tamat, pemain yang layak dengan 'top 40 times' teratas akan dijemput ke sesi suku akhir dalam talian untuk memilih 20 pemandu terbaik.

Mereka akan mara ke separuh akhir yang diadakan secara langsung di pusat beli-belah 1 Utama di Petaling Jaya, pada 6 Ogos depan.

Seramai 10 pemandu terbaik dalam separuh akhir akan mara ke grand final pada hari berikutnya, menampilkan perlumbaan di Interlagos dan Spa dengan Toyota Supra GT500.

Pemenang akan menjadi juara Malaysia, meraih wang tunai $4,500 (RM20,000) daripada jumlah hadiah bernilai $16,000 (RM70,000).

Mereka juga akan mewakili Malaysia dalam Piala Toyota GR GT Asia, iaitu pertandingan yang menyediakan tiga pemandu ke Pusingan Akhir Piala Toyota Gazoo Racing GT bersama kelayakan dalam talian. - gtplanet

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain