suria

Mulanya PS4 hilangkan tekanan belajar, kini Luqman wakil tunggal Malaysia ke kelayakan eChampion League Fifa19

Luqman (kanan) meraikan kemenangan bersama kawannya ketika menyertai salah satu kejohanan Cyber Games di Selangor baru-baru ini.

MUHAMMAD Luqman Haziq Hajiman menjadi peserta tunggal Malaysia mara ke eChampion League Fifa19 di Manchester April ini.

Menurut pemuda berusia 22 ini,  dia antara enam peserta dari Zon  Asia, Zon Ocean seperti New Zealand, Peru dan beberapa buah negara lagi membawa cabaran ke liga itu.

“Sebenarnya liga Fifa19 baharu dilancarkan tahun ini. Saya pula baru berinak-jinak dalam permainan PS4 secara serius sejak dua tahun lalu.

“Kawan saya yang memang serius dalam permainan ini mengajak menyertai kejohanan liga eSports Fifa19 dan memang terkejut selepas terpilih untuk ke Manchester bulan depan,” ujarnya kepada mStar Online.

Jelas Luqman, pada 26 April nanti seramai 64 peserta dari seluruh dunia akan menyertai pertandingan Fifa19.

“Setiap zon akan menghantar enam peserta bersaing untuk merebut lapan tempat terbaik untuk ke final yang akan berlangsung sehari sebelum aksi akhir Liga Juara-Juara (31 Mei).

“Perlawanan akhir itu akan ditayangkan secara langsung dari Madrid.

“Saya pasti saingan akan sengit di Manchester kelak memandangkan ramai yang lebih berpengalaman.

“Tetapi ia bukan halangan untuk saya bermain dengan baik.

“Sebagai persiapan, saya bakal menyertai beberapa kejohanan termasuk akan ke Singapura bulan ini,” jelasnya.

Luqman yang juga pelajar jurusan kewangan di Universiti Malaya memberitahu, PS4 adalah permainan untuk dia hilangkan tekanan belajar.

“Sekarang sudah berbeza. Apabila dah serius, ada juga rasa tekanan kerana perlu fokus dan lebih kompetitif serta perlu banyak masa untuk berlatih.

“Apa pun pelajaran tetap diutamakan dan sekurang-kurangnya dua hingga tiga jam sehari untuk bermain PS4.

“Saya juga bersyukur kerana keluarga memberi sokongan dalam bidang yang saya ceburi sekarang.

“Mereka tahu minat saya dan impian untuk bermain hingga ke peringkat antarabangsa.

“Sepanjang penglibatan dalam eSports, Kementerian Belia dan Sukan banyak membantu saya,” katanya.

Dalam pada itu, Luqman memberitahu, eSports ini telah membantunya mencari duit poket sendiri.

“Sepanjang dua tahun menyertai pelbagai kejohanan, saya bersyukur kerana dapat mengumpul wang sendiri hasil daripada kemenangan,” ujarnya.


eSport, Fifa19

Artikel Lain