suria

Harimau Malaya hampir dimalukan, akur kongsi mata dengan Kemboja

Fergus Tierney muncul penyelamat menerusi jaringan kedua. - Foto FAM

SKUAD bola sepak kebangsaan terpaksa bermandi peluh sebelum mengikat Kemboja 2-2 dalam perlawanan sulung Piala ASEAN Mitsubishi Electric (AMEC) 2024 di Phnom Penh, Ahad malam.

Walaupun garang pada babak pertama menerusi jaringan pendahuluan tandukan terbang pemain tengah, Stuart Wilkin, pada minit ke-35, skuad negara dilihat lesu pada awal separuh masa kedua.

Kesilapan pemain pertahanan, Jimmy Raymond tidak dapat melakukan tampanan tepat membuka ruang untuk Kemboja menyamakan kedudukan oleh pemain naturalisasi kelahiran Ivory Coast, Abdel Kader Coulibaly, pada minit ke-52.

Stuart Wilkin menjaringkan gol pertama Malaysia. Foto FAM.

Stuart Wilkin (dua kanan) menjaringkan gol pertama Malaysia. Foto FAM.

Anak buah Pau Marti Vicente tampak tenggelam apabila tujuh minit kemudian pemain gantian, Sa Ty, menjaringkan gol berpunca daripada sepakan penjuru untuk menjadikan kedudukan 2-1.

Penyerang warisan yang dilahirkan di Scotland, Fergus Tierney muncul penyelamat apabila rembatan kaki kirinya pada minit ke-73 berada di luar jangkauan penjaga gol, Vireak Dara, untuk kedudukan 2-2.

Keputusan itu menyaksikan Harimau Malaya terpaksa berpuas hati berkongsi mata dalam aksi pembukaan Kumpulan A.

Skuad kebangsaan dijadual bertemu Timor-Leste pada aksi kedua kumpulan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Rabu depan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain