suria

Ronaldo minat peluk Islam, rakan sepasukan dedah cerita ramai tak tahu - “Saya sangat kagum dengan dia”

Pencapaian Ronaldo dalam dunia bola sepak dikagumi ramai.

BINTANG sensasi arena bola sepak, Cristiano Ronaldo didakwa berminat untuk memeluk Islam selepas terpesona dengan budaya Arab Saudi dan agama Islam secara keseluruhannya.

Perkara itu didedahkan oleh bekas penjaga gawang Al-Nassr, Waleed Abdullah dalam satu temu bual bersama program televisyen, Al-Hissa Al-Akhira.

Menurut Waleed, dia mendapat tahu berita baik itu ketika berbual dengan Ronaldo yang menyertai pasukan Al-Nassr dalam Liga Pro Saudi pada awal 2023.

"Ronaldo jujur dengan hasratnya untuk memeluk Islam. Dia menunjukkan minat ketika saya bersembang dengannya,” ujar Waleed.

Waleed seterusnya berkongsikan beberapa amalan Ronaldo ketika di atas dan di luar padang yang menunjukkan dia berminat mendekatkan diri dengan Islam.

Cristiano Ronaldo dan Waleed Abdullah (kanan).

"Pertama sekali, kita dapat lihat pada gaya Ronaldo yang sejak kebelakangan ini bersujud ketika meraikan gol dijaringkannya.

"Selain itu, ketika sesi latihan Ronaldo akan meminta jurulatih untuk berhenti seketika apabila azan berkumandang sebagai tanda hormat kepada seruan Ilahi.

"Bukan sekadar itu, Ronaldo juga akan memastikan rakan sepasukannya yang beragama Islam mempunyai masa untuk mendirikan solat fardu ketika sesi latihan berlangsung.

"Satu momen yang saya ingat, ada sekali tu kami sedang bersujud di atas padang bagi meraikan gol, Ronaldo kemudiannya datang ke arah kami dan minta kami laungkan Allahuakbar beramai-ramai sebagai satu pasukan," jelas Waleed.

Minat Ronaldo terhadap Islam difahamkan bermula dari zamannya di Real Madrid, ketika itu dia berkawan rapat dengan rakan sepasukannya yang juga merupakan seorang Muslim iaitu Mesut Ozil dan Karim Benzema.

"Tidak kisah sekiranya Ronaldo jadi atau tak jadi memeluk Islam di kemudian hari, tapi saya sangat kagum dengan dedikasi ditonjolkan Ronaldo untuk menghormati agama rakan sepasukannya dan budaya masyarakat," kata Waleed.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain