suria

Tak pernah buat pengeluaran, hampir RM55 juta wang dalam akaun Usain Bolt lesap

Bolt membuka satu akaun dengan syarikat pelaburan tempatan Jamaica pada 2012. -foto AFP

LEGENDA pecut Jamaica Usain Bolt hilang sebahagian besar wang simpanannya kepada scammer berjumlah kira-kira AS$12.7 juta (RM54.78 juta).

Dia kini hampir tiada wang dalam akaun yang dibukanya dengan sebuah syarikat pelaburan Jamaica, menurut laporan.

Kini, manusia terpantas di dunia itu bimbang semua pelaburan yang dibuat dalam Stocks and Securities Limited (SSL) akan lesap.

Bolt dikatakan telah membuka satu akaun dengan syarikat pelaburan tempatan Jamaica, SSL pada 2012 tetapi tidak pernah membuat pengeluaran.

Akaun pemenang pingat emas Olimpik lapan kali itu digunakan untuk simpanan pencen dirinya dan ibu bapanya.

Bagaimanapun, sumber mendedahkan dia kini hanya tinggal AS$12,000 (RM51,762) menurut laporan.

Bolt adalah salah seorang daripada lebih 30 orang yang dipercayai menjadi mangsa penipuan.

Laporan turut menyatakan Suruhanjaya Perkhidmatan Kewangan Jamaica (FSC) telah menjalankan siasatan dan syarikat pelaburan itu telah diletakkan di bawah pengawasan.

SSL juga mengisytiharkan bahawa pegawainya gagal menangkap scammer terbabit. Dilaporkan, syarikat itu tidak menyedari bahawa Bolt juga terkesan.

Syarikat pelaburan SSL mempunyai 10 hari untuk membayar wang yang didakwa oleh juara pecut Jamaica itu berada dalam akaunnya sehingga Oktober 2022.

Dalam surat yang dihantar kepada SSL pada 16 Januari, peguam Bolt, Linton Gordon menyatakan akan mengambil tindakan undang-undang jika wang Bolt tidak dikembalikan dalam masa 10 hari.

Bolt kini memegang rekod dunia dalam acara 100m, 200m dan 4x100m dengan masa 9.58 saat, 19.19 saat dan 36.84 saat dan telah melabur dalam syarikat itu selama lebih 10 tahun, menurut pengurus Bolt Nugent Walker.

Menurut FSC pihaknya 'menyedari laporan dakwaan penipuan' yang oleh SSL.

"FSC mengeluarkan arahan kepada SSL. Arahan ini yang dihantar pada Khamis, 12 Januari 2023, adalah alat penyeliaan untuk membolehkan FSC melibatkan entiti dalam proses pengawasan yang dipertingkatkan," kata FSC dalam satu kenyataan.-IT

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain