suria

Piala Suzuki AFF: Harimau Malaya tewaskan Laos 4-0

Safawi meledak tiga gol ketika menentang Laos sebentar tadi.

PASUKAN Malaysia cemerlang selepas menundukkan Laos 4-0 dalam aksi kedua Kumpulan B Piala Suzuki AFF 2020 di Stadium Bishan, Singapura, sebentar tadi.

Penggempur Harimau Malaya, Safawi Rasid muncul wira apabila meledak hatrik bagi membantu kemenangan skuad negara.

Kemenangan itu mengukuhkan kedudukan Harimau Malaya selaku peneraju Kumpulan B apabila merekodkan enam mata maksimum selepas terlebih dulu membenam Kemboja 3-1 pada Isnin lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Piala Suzuki AFF: Harimau Malaya benam Kemboja 3-1

Pemain sayap, Arif Aiman Hanapi berjaya melepasi kawalan pertahanan Laos sebelum melorongkan bola kepada Safawi yang mudah menolak masuk untuk gol pembukaan Harimau Malaya pada minit ketujuh.

Pada minit ke-34, Safawi menanduk masuk gol kedua Harimau Malaya selepas menyempurnakan sepakan penjuru yang diambil Arif Aiman.

Bersambung babak kedua, Harimau Malaya akhirnya memperoleh gol ketiga menerusi tonggak pertahanan, Shahrul Saad pada minit ke-78.

Safawi kemudiannya melengkapkan hatrik dalam perlawanan itu apabila menjaringkan gol pada minit ke-79 hasil umpanan pemain gantian, R Kogileswaran. - SINAR HARIAN

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

AFF Suzuki, Harimau Malaya, Laos

Artikel Sebelum

Artikel Lain