suria

“Tidak dibenarkan, bola sepak tak boleh main seorang” - Ismail Sabri jawab isu tangguh Liga-M

Perlawanan bola sepak tidak boleh dibenarkan walaupun selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana rakyat masih perlu mematuhi SOP selepas perintah kawalan itu tamat.

ISU penangguhan Liga Malaysia (Liga-M) sejak Mac lalu akibat penularan wabak Covid-19 membawa kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mendapatkan penjelasan pihak kerajaan.

Pada sidang media hariannya, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika ditanya berhubung perkara itu berkata, mengikut prosedur operasi standard (SOP) umum ketika ini, sebarang aktiviti berkumpulan tidak dibenarkan.

Kata beliau, permainan bola sepak akan mengumpulkan ramai pemain di padang dan mungkin berlaku kontak rapat secara fizikal.

Sehubungan itu, ia tidak boleh dibenarkan walaupun selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana rakyat masih perlu mematuhi SOP selepas perintah kawalan itu tamat.

"Bola tak boleh main seorang, akan ada 22 pemain di padang, tidak seperti badminton single jadi kita tidak boleh benarkan walaupun selepas PKP.

"Jika PKP tamat hari ini tidak bermakna esok rakyat boleh bergerak bebas seperti sebelumnya kerana ada SOP yang perlu dipatuhi dan ia sedang disiapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya.

Baru-baru ini, FAM menghantar permohonan rasmi kepada MKN dan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mendapatkan pandangan dan kelulusan menggunakan SOP yang akan dipatuhi bagi membolehkan saingan Liga-M 2020 kembali disambung.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata permohonan itu dikemukakan melalui Kementerian Belia dan Sukan selepas Presiden FAM yang juga Presiden Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan Ketua Pegawai Eksekutif MFL Datuk Ab Ghani Hassan mengadakan mesyuarat khas dengan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican di Putrajaya, Jumaat.

"FAM dan MFL sudah tentu mengutamakan aspek kesihatan negara mendahului bola sepak, namun sebagai badan induk bola sepak di Malaysia, kami perlu berusaha untuk mencari jalan supaya bola sepak dapat diteruskan dan sebab itulah kami mahu mendapatkan nasihat pakar, ” katanya.

Beliau berkata FAM sedia menerima dan akan mematuhi segala arahan yang diberikan kelak walaupun ia mungkin membawa kepada pembatalan semua aktiviti bola sepak.

FAM dan MFL menangguhkan semua aktiviti bola sepak di bawah kelolaan mereka sejak 16 Mac lalu susulan penularan Covid-19, selain mematuhi penguatkuasaan PKP bagi memutuskan rantaian wabak itu.

FAM, Covid-19, Ismail Sabri, MKN, Liga-M

Artikel Berikut

Artikel Lain