suria

Covid-19: Red Bull Leipzig mohon maaf halau penyokong Jepun keluar dari stadium

20 penyokong warga Jepun diarahkan untuk keluar selepas 10 minit permainan bermula. Foto: AFP

KELAB bola sepak Jerman, Red Bull Leipzig telah memohon maaf setelah menghalau 20 penyokong warga Jepun yang hadir menonton perlawanan di Stadium Red Bull Arena pada Ahad lepas.

Pengawal keselamatan stadium bertindak menghalau penyokong terbabit hanya selepas 10 minit perlawanan bemula.

Melalui sebuah kenyataan kelab yang dikeluarkan pada Isnin, kelab telah memohon maaf kepada penyokong yang terlibat.

Patrick Shick (kanan) diasak oleh pemain Bayer Leverkusen, Sven Bender dalam perlawanan yang berkesudahan seri 1-1. Foto: AP

"Kami ingin meminta maaf atas kejadian yang tidak sepatutnya berlaku.

"Kami juga telah berjumpa dengan penyokong serta menjemput mereka hadir ke stadium untuk perlawanan seterusnya.

"Insiden ini berlaku disebabkan rasa bimbang akan keadaan semasa yang sangat membahayakan dan pegawai keselamatan kami telah mengambil tindakan yang tidak wajar.

Taichi Hayashikawa telah meluahkan rasa tidak puas haitnya di Twitter sebelum tweet itu dipadam. Foto: Daily Mail

Taichi Hayashikawa dalam tweetnya berkata pada mulanya dia dibenarkan untuk masuk ke stadium tanpa sebarang halangan.

"Bagaimanapun, sejurus selepas perlawanan bermula, seorang pengawal keselamatan berkata kepada saya yang berkemungkinan saya dijangkiti koronavirus kerana berketurunan Jepun.

"Saya dihalau keluar selepas 10 minit perlawanan bermula," ujar Hayashikawa.

Dalam perlawanan tersebut, Red Bull Leipzig diikat seri 1-1 menentang Bayer Leverkusen sekaligus gagal memberi saingan kepada pendahulu liga, Bayern Munich.

Setakat ini, wabak Covid-19 telah memberi kesan terhadap sukan bola sepak di Eropah apabila lima perlawanan Serie A dibatalkan di Itali. - Daily Mail


Artikel Lain