suria

Pemain import untuk Selangor II hanya akan dipanggil jika ada keperluan - Johan

Johan memberitahu Selangor II merupakan feeder club itu bertujuan untuk pembangunan bola sepak, membentuk pemain bagi pasukan utama dan memberikan pendedahan kepada pemain muda.

SETIAUSAHA Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Dr Johan Kamal Hamidon menjelaskan pemilihan pemain import bagi Selangor II mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga-M) hanya akan dibuat sekiranya ada keperluan.

Katanya, berdasarkan perancangan awal feeder club itu bertujuan untuk pembangunan bola sepak, membentuk pemain bagi pasukan utama (Selangor FA) dan memberikan pendedahan kepada pemain muda.

“Pasukan ini akan dibarisi pemain muda terdiri daripada pemain Piala Presiden dan kita akan gilap kebolehan dalam saingan liga.

“Pengendali Selangor II, Michael Feichtenbeiner akan mengukur kekuatan dan kemampuan pasukan ini terlebih dahulu untuk pastikan pasukan ini terus bersaing di Liga Premier,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, pengambilan pemain import akan dilakukan sekiranya perlu kerana pasukan bukan sahaja harus menang liga tetapi juga untuk kekal dalam liga.

"Jika tersingkir usaha dan hasrat kita bagi tujuan pembangunan bola sepak Selangor dan menyediakan pemain berkualiti untuk pasukan utama tidak tercapai," katanya.

Beliau percaya Feichtenbeiner mampu menggalas tugas berdasarkan pengalaman luas dalam arena bola sepak bagi memastikan pasukan itu mampu melahirkan pemain untuk pasukan utama.

“Feichtenbeiner akan melaksanakan dua tugas iaitu Pengarah Teknikal Selangor dan pengendali Selangor II. Bagi jurulatih pasukan utama pula kekal B Sathianathan,” katanya.

Bagi musim 2020, Selangor II yang sebelum ini ialah PKNS FC bakal menjadi fedeer club kepada Selangor FA dan bersaing di Liga Premier.Keputusan itu bukan suatu yang mengejutkan kerana perkara tersebut sudah lama disebut-sebut.

Johan Kamal juga memaklumkan bahawa tidak timbul sebarang isu berbangkit melibatkan pemain dan pengurusan PKNS 2019.

“Bagi pemain tempatan yang masih mempunyai kontrak seperti Nik Shahrul Azim Abdul Halim yang bermain untuk PKNS sebelum ini akan bermain dengan pasukan utama (Selangor).

“Bagi pengendali PKNS sebelum ini, Datuk K Rajagobal, kontraknya sudah berakhir. Begitu juga dengan pemain import yang kita ikat mereka untuk satu musim sahaja,” katanya.

Artikel Lain