Gagal capai sasaran kutipan pingat emas, kontinjen negara catat prestasi ‘terburuk’

Kontinjen negara sekadar mengutip 56 emas, 57 perak dan 72 gangsa dalam kempen Sukan SEA di Filipina, sekaligus hanya mampu menduduki tangga kelima. Foto: Bernama

TEMASYA Sukan SEA ke-30 di Filipina yang melabuhkan tirai pada malam Rabu menyaksikan kontinjen Malaysia menamatkan kempen dengan prestasi memalukan.

Kontinjen negara sekadar mengutip 56 emas, 57 perak dan 72 gangsa.

Kutipan itu jauh tersasar daripada sasaran 70 emas, 51 perak dan 105 gangsa.

Prestasi buruk itu tidak selari dengan 339 pegawai dan 773 atlet  yang dihantar bertanding dalam 52 daripada 56 acara selepas hanya menduduki tangga kelima keseluruhan berbanding sasaran tempat keempat.

ARTIKEL BERKAITAN: Sasaran 70 pingat emas Sukan SEA tidak kesampaian, Malaysia akhiri kedudukan di tangga kelima

Sasaran 70 pingat emas itu, sekiranya dicapai, akan menjadi pencapaian terbaik kontinjen negara di luar Kuala Lumpur.

Kutipan pingat yang dilakar pada Sukan SEA kali ini jauh ketinggalan daripada pencapaian 68 emas, 52 perak dan 96 gangsa yang diraih kontinjen Malaysia pada edisi 2007 di Korat, Thailand.

Pencapaian di Filipina pada kali ini merupakan antara pencapaian terburuk kontinjen Malaysia selepas tiga edisi terdahulu iaitu 2003 di Vietnam (40 emas), 2009 di Laos (40 emas) dan pada edisi 2013 di Myanmar yang menyaksikan Malaysia sekadar mengutip 43 emas.

Temasya sukan dwitahunan itu yang bermula 24 November lepas melabuhkan tirai di Stadium Olahraga New Clark City, malam tadi.

Tuan rumah, Filipina muncul juara keseluruhan Sukan SEA buat kali kedua dengan kutipan 149 emas, 117 perak dan 121 gangsa, disusuli Vietnam yang meraih 98 emas, 85 perak dan 105 gangsa.

Tempat ketiga diduduki oleh Thailand menerusi kutipan 92 emas, 103 perak dan 123 gangsa.

Kesimpulannya, prestasi buruk yang dipamerkan kontinjen negara pada kali memberi petanda jelas bahawa masih terdapat banyak kelemahan yang perlu diperbaiki dan kesemua pihak berkepentingan dalam sukan negara seperti Kementerian Belia dan Sukan, Majlis Sukan Negara, Institut Sukan Negara dan Majlis Olimpik Malaysia harus berganding bahu dalam mencari penyelesaian terbaik dalam mengekang kemerosotan pada kali ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Minamino jadi buruan Liverpool

Artikel Berikut

Arsenal mahu bincang dengan Ancelotti

Artikel Lain