suria

Akhyar mahu balas kepercayaan Kim Swee

Akhyar (dua kanan) tekad bangkit membantu pasukan pada aksi bertemu Filipina pada Jumaat. Foto kredit: FAM

PEMAIN sayap pasukan Bawah 22 tahun (B-22) negara, Muhammad Akhyar Abdul Rashid mahu menebus balik kekecewaan, selepas mempamerkan aksi kurang memuaskan ketika perlawanan menentang Myanmar pada Isnin lalu, apabila berhadapan Filipina pada Jumaat.

Pemain pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) itu dilihat agak bergelut untuk menampilkan aksi terbaiknya pada perlawanan pembukaan Kumpulan A, Sukan SEA itu, terutamanya di babak kedua dan digantikan selepas mengalami kekejangan otot.

Muhammad Akhyar bagaimanapun menjadi punca utama membantu Malaysia menjaringkan gol penyamaan, di mana beliau berjaya mencuri bola dari pemain Myanmar dan melakukan hantaran silang ke dalam kotak penalti, sebelum Muhammad Hadi Fayyadh Abdul Razak menanduk masuk bola itu, sekali gus keputusan terikat 1-1 sehingga wisel penamat.

Sekiranya diturunkan berdepan skuad ‘The Junior Azkals’, pemain berusia 19 tahun kelahiran Jitra itu, berjanji untuk menebus balik kepercayaan Ketua Jurulatih Datuk Ong Kim Swee.

“Untuk kali ini saya akan buat yang terbaik untuk pasukan dan buktikan sesuatu pada jurulatih, membalas balik kepercayaan beliau,” katanya ketika ditemui pemberita, pada sesi latihan pasukan di Stadium Memorial Rizal di sini, hari ini.

“Bagi saya untuk lawan Filipina agak sukar kerana dari segi fizikal, pemain mereka lebih tinggi dan besar, tapi apa yang saya tengok dari dua perlawanan mereka, ada beberapa kesilapan yang dilakukan, jadi kami akan gunakan ia sebaik-baiknya untuk menghasilkan gol,” tambahnya.

Sementara itu, pemain sensasi muda negara, Umar Hakeem Suhar Rezwan, 17, turut risau mengenai kelebihan fizikal pasukan tuan rumah.

“Saya lihat pada situasi 50-50 memang mereka tak undur, masuk habis, jadi saya rasa pasukan perlu bersedia untuk mengatasi mereka. Buat masa ini semua persediaan rapi, saya rasa jurulatih tahu bagaimana nak atasi dan hadapi mereka, untuk memastikan kemenangan menjadi milik kita.

“Saya tak yakin akan terus berada dalam kebelasan utama, tetapi jika diberi peluang, saya rasa sentuhan pertama itu penting. Jika sentuhan pertama bagus dalam mana-mana perlawanan, 80 peratus perlawanan itu akan menjadi baik,” katanya.

Selepas perlawanan menentang Filipina pada 8 malam esok, Malaysia seterusnya akan bertemu Timor Leste pada Isnin dan Kemboja, dua hari kemudian untuk melengkapkan jadual peringkat kumpulan. -Bernama

Sukan SEa, Akhyar, Ong Kim Swee

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain