suria

PSM tuntut ganti rugi RM11,000 daripada FAM

Penyokong-penyokong Indonesia turut membaling suar ke arah tempat duduk penyokong Malaysia.

GARA-gara tindakan liar penyokong-penyokong Indonesia yang merosak kerusi penonton, Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) akan membuat tuntutan ganti rugi daripada Persatuan Bola Sepak Malaysi (FAM).

Tuntutan itu dikemukakan kepada FAM selaku penganjur perlawanan yang membuat tempahan mengikut syarat yang terkandung dalam terma perjanjian sewaan venue.

Insiden tersebut berlaku pada aksi pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, 19 November lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif PSM, Nik Razeen Adam Daud, dalam kenyataan media, berkata hasil pemeriksaan yang dibuat selepas perlawanan, didapati sejumlah 44 unit kerusi stadium berkenaan dirosakkan oleh penyokong Indonesia yang mengakibat kerugian sejumlah RM11,000.

"Kami telah memberikan sambutan baik untuk mengalu-alukan kedatangan para penyokong pasukan bola sepak Indonesi ke Stadium Nasional.

"Walau bagaimanapun setelah apa yang berlaku, saya berasa amat kecewa kerana  sambutan baik yang kami berikan tidak dihargai oleh mereka."

Lebih 75,000 penonton membanjiri stadium tersebut yang menyaksikan Malaysia mengalahkan Indonesia 2-0 pada perlawanan tersebut.

Artikel Lain