suria

Jurulatih AMD terkesan kekosongan pengarah teknikal - “Kami akan terus guna metodologi pemikiran dan budaya kerja Teong Kim”

Muhammad Yusof (lima kanan) bersama Teong Kim dan sebahagian daripada jurulatih-jurulatih AMD.

PENGURUS Besar Akademi Mokhtar Dahari (AMD) Muhamad Yusuf Ibrahim mengakui ketiadaan Lim Teong Kim merupakan satu kehilangan besar bagi Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).

Muhamad Yusuf,33, mendedahkan banyak perkara positif yang diterima daripada Teong Kim sepanjang lima tahun bekerjasama dengan bekas pengendali Akademi Remaja Bayern Munich itu.

Kesan itu bukan sahaja dirasai pemain-pemain muda sebaliknya kepada 18 jurulatih AMD.

ARTIKEL BERKAITAN: Teong Kim dedah ‘hal dalam kain’ bola sepak negara - “Mereka tak sukakan saya, ego punca semua perkara baik nak diubah”

ARTIKEL BERKAITAN: Siapa “orang-orang buta” yang Teong Kim maksudkan? Anak Melaka ini kembali ke Munich, bangga pemain AMD ada ‘human value’

ARTIKEL BERKAITAN: "If your pay peanut, you get monkeys”, Teong Kim mahu pulang ke Munich selepas kontrak berakhir

"Kami rasa kerugian dan sedih kerana apa yang coach bagi sejak lima tahun lepas sangat berguna.

Yusof bersama Teong Kim (kanan) Jumaat lalu.

"Ia termasuk dari segi realistik, praktikal yang diajar sangat blend dengan budaya kita, tetapi apabila sebut pembangunan, ia adalah masa.

"Tempoh lima tahun bekerjasama dengannya satu masa yang pendek. Negara Jepun sendiri mengambil masa lebih kurang 40 tahun dengan perancangan 100 tahun untuk berada di tempat sekarang.

"Secara keseluruhannya memang kami di AMD amat terasa selepas dia kembali ke Munich," jelasnya kepada mStar.

Kontrak Teong Kim sebagai pengarah teknikal AMD berakhir 31 Oktober lalu selepas menguruskan DNA pembangunan bola sepak negara.

Bagi Muhamad Yusuf, lebih terkesan dengan situasi ini adalah semua jurulatih di bawahnya.

Jadi apa yang saha harapkan, individu yang menggantikannya biarlah lebih baik daripada Teong Kim untuk kebaikan Program Pembangunan Bola Sepak Negara.

MUHAMMAD YUSOF IBRAHIM

Pengurus Besar AMD

"Kini hanya tinggal 18 jurulatih di AMD. Memang merekalah yang paling terasa dengan ketiadaan Teong Kim kerana sejak awal lagi merekalah yang 'jatuh bangun' bersama.

"Saya anggap mereka ini 'orang gila' kerana memiliki kesabaran yang tinggi sepanjang berada di AMD kerana masing-masing meninggalkan keluarga untuk bersama program NFDP demi pembangunan bola sepak.

"Walaupun gaji mereka hanya RM800 sahaja pada mula-mula program dijalankan, tetapi mereka tidak mengeluh. Dalam tempoh beberapa bulan pertama mereka diuji dan bersama Teong Kim mereka berada dalam keadaan yang sukar tetapi dapat bertahan sehingga sekarang sekali gus menjadikan hubungan semakin akrab," katanya.

Tambahnya lagi, dari sudut kerja, jurulatih-jurulatih bukan sahaja mengajar di padang, tetapi mereka akan datang awal untuk membuat penyelidikan dan berbincang terlebih dahulu sebelum melatih pemain-pemain.

Kontrak Teong Kim bersama AMD berakhir 31 Oktober lalu.

Selain itu, katanya sekurang-kurangnya seminggu sekali mereka akan berkumpul bersama Teong Kim untuk berbincang dan reviu latihan sepanjang minggu.

"Kalau laporan agak teruk dia akan terus cakap teruk dan kalau baik, dia tidak lokek untuk memuji dan menghargai kami semua," katanya yang turut mengiringi Teong Kim ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Jumaat lalu.

Kata Muhamad Yusuf lagi, barisan pengurusannya akan terus menggunakan metodologi pemikiran dan budaya kerja yang ditinggalkan Teong Kim.

"Saya tidak kisah siapa yang dilantik kerana itu di luar kuasa saya. Pengganti akan dilantik oleh Jawatankuasa Kerja dan Pemandu FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) dan MSN (Majlis Sukan Negara).

"Jadi apa yang saya harapkan, individu yang menggantikanya biarlah lebih baik daripada Teong Kim, kerana ianya adalah untuk kebaikan Program Pembangunan Bola Sepak Negara dan seluruh rakyat Malaysia " ujarnya ringkas.

Teong Kim,56,  yang berasal dari Melaka, kembali menjadi perantau apabila pulang ke Munich selepas lima tahun dalam program pembangunan bola sepak negara.


Muhammad Yusof, AMD, Lim Teong Kim

Artikel Lain