Permainan anak didik Tan Cheng Hoe contoh DNA Bola Sepak Malaysia - De Roo - Sukan | mStar

Permainan anak didik Tan Cheng Hoe contoh DNA Bola Sepak Malaysia - De Roo

Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin (dua kiri) melancarkan DNA Bola Sepak Malaysia pada Selasa. Turut kelihatan De Roo, Subahan dan Setiausaha Agung FAM Stuart Ramalingam (kiri).

PENGARAH Teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Peter de Roo mengakui tugas sukar untuk mengubah mentaliti jurulatih tempatan dalam melaksanakan program pembangunan akar umbi.

Bagaimanapun, bekas pemain Belanda itu positif ia akan berubah dengan adanya DNA Bola Sepak Malaysia yang dilancarkan oleh FAM.

Beliau berkata, setakat ini respons setiap jurulatih negeri sangat menakjubkan dan tugas beliau untuk memastikan mereka gembira serta sedia menerima perubahan yang telah ditetapkan.

“Masa adalah penting dalam program pembangunan dan ia telah dilaksanakan di banyak negara. Misalnya Belgium mula menjalani program pembangunan bermula 2000 dan kejayaan dilihat pada 2010, manakala Jerman pula bermula 1996 selepas Kejuaraan Eropah.

“Yang penting perlu konsisten dengan apa yang dibuat. Sudah pasti tugas saya ini lebih kepada mengkritik, tetapi apabila program ini berjaya saya tidak lagi berada di tempat itu (pengarah teknikal),” katanya selepas pelancaran DNA Bola Sepak Malaysia pada Selasa.

De Roo menjelaskan DNA Bola Sepak Malaysia boleh digambarkan menerusi permainan anak didik Tan Cheng Hoe yang bergerak sebagai sepasukan dalam transisi dari pertahanan ke serangan, selain bertahan secara berpasukan.

"Negara-negara yang paling berjaya di dunia, bahkan di Asia sudah mula bekerja bertahun-tahun lalu dengan cara yang seragam untuk membangunkan pemain dan corak permainan tersendiri dengan mengembangkan DNA bola sepak masing-masing," ujarnya.

DNA Bola Sepak Malaysia adalah manifestasi bola sepak negara yang merangkumi sistem kejurulatihan seragam merentasi semua peringkat akar umbi sehingga elit.

Ia juga dipanggil The Malaysian Way  harus menjadi garis panduan dan rujukan kepada pemain, jurulatih, dan tenaga pengajar dari peringkat bawah hingga tertinggi.

Sementara itu, Timbalan Presiden FAM yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan Bola Sepak Belia, Datuk Seri Subahan Kamal berkata program ini sebenarnya telah bermula pada Oktober 2017 di bawah kendalian De Roo.

"Secara umumnya DNA Bola Sepak Malaysia adalah petunjuk kepada semua pihak bagaimana untuk bermain dengan cara permainan yang sama dan seragam dari peringkat paling bawah hingga ke peringkat senior.

"Sasaran kita ialah melahirkan pemain yang benar-benar bermain cara DNA Malaysia pada 2030 sejajar kemuncak pata Hala tuju F:30," katanya.

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Ibu Issey meninggal dunia

Beruang pula masuk kampung