Piala Sudirman: Mei Kuan-Meng Yean muncul wirawati - Sukan | mStar

Piala Sudirman: Mei Kuan-Meng Yean muncul wirawati

Pasangan beregu negara Chow Mei Kuan - Lee Meng Yean berjaya menumpaskan lawan dari India.

PEMAIN beregu wanita Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean muncul wirawati apabila menyumbang mata kemenangan buat skuad badminton negara apabila menumpaskan India 3-2 pada kejohanan badminton Piala Sudirman 2019 di Pusat Sukan Guangxi, Nanning, China pada Selasa.

Pada perlawanan Kumpulan 1D itu, Mei Kuan-Meng Yean yang tidak diturunkan ketika menentang China, menewaskan gandingan Ashwini Ponnappa-Reddy N. Sikki, ketika kedudukan terikat 2-2 sekali gus kembali menghidupkan peluang Malaysia untuk layak ke suku akhir.

Gandingan negara itu yang kini menduduki ranking ke-13 dunia, bagaimanapun perlu mengharungi 42 minit mendebarkan sebelum berjaya menundukkan Ashwini-Reddy 21-11, 21-19.

Ketua jurulatih beregu wanita, Rosman Razak ketika dihubungi Bernama berkata beliau berpuas hati kerana gandingan Mei Kuan-Meng Yean bukan sahaja berjaya menyumbang mata berharga buat skuad negara tetapi juga bijak mengawal tekanan dalam situasi getir.

"Pasangan beregu wanita bermain dengan baik pada set pertama, mengikut taktikal yang dirancang tetapi agak terganggu di set kedua dan bermain terlalu defensive (bertahan) dalam melakukan hantaran. Namun, saya gembira pasangan kita dapat kembali dan keluar daripada tekanan tadi.

"Saya agak risau kerana ini kejohanan pertama berpasukan yang memerlukan Mei Kuan-Meng Yean mendapatkan mata. Faktor mengawal tekanan amat penting dan ternyata mereka berjaya mengawalnya.

"Sudah tentu ini bukan kemenangan mutlak mereka. Ini kemenangan seluruh pasukan," katanya.

Pada perlawanan penting menentang skuad India itu, skuad negara gagal memungut mata pertama apabila gandingan Goh Soon Huat-Shevon Lai tewas kepada pasangan Satwiksairaj Rankireddy-Ashwini Ponnappa dalam pertarungan rubber set 21-16, 17-21, 22-24.

Namun, pemain perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia melunaskan tanggungjawabnya untuk meraih mata dengan menundukkan Sameer Verma 21-13, 21-15 sebelum India kembali berada di hadapan apabila pemain perseorangan wanita Pusarla V. Sindhu mengalahkan Goh Jin Wei 21-12, 21-8.

Percubaan untuk menggandingkan Aaron Chia dan Teo Ee Yi ternyata membuahkan hasil apabila mereka meraih mata penyamaan selepas mengetepikan Attri Manu-Reddy B. Sumeeth 22-20, 21-19.

Pada pertemuan pertama, Ahad lepas, Malaysia terpaksa akur dengan keunggulan tuan rumah, China apabila tumpas 0-5.- Bernama

Piala Sudirman , beregu wanita

Artikel Berkaitan

Artikel Lain