suria

Bekas pemain bola kebangsaan cabar Syed Saddiq, “Jangan pandai cakap saja tapi tiada tindakan”

Jamal Nasir (kanan) mahu Syed Saddiq jangan hanya sibuk bersembang.

BEBERAPA bekas pemain bola sepak kebangsaan, tampil menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berhubung perbangunan sukan negara.

Beliau berkata, dalam tempoh kira-kira setahun Syed Saddiq memegang portfolio itu, masih belum menampakkan sumbangan besar terhadap peningkatan sukan tanah air termasuk bola sepak.

Beliau berkata, dalam tempoh kira-kira setahun Syed Saddiq memegang portfolio itu, masih belum menampakkan sumbangan besar terhadap peningkatan sukan tanah air termasuk bola sepak.

“Pada saya tak nampak apa-apa sumbangan lagi beliau sebagai menteri, kalau dalam bola sepak, adalah beliau tengok Akademi Bolasepak Mokhtar Dahari di Gambang, selain itu tak ada apa pun.

“Sebagai menteri yang muda, beliau sepatutnya bersemangat dan agresif. Jangan pandai cakap saja tapi tiada tindakan.

“Sepatutnya beliau perlu memikirkan cara untuk bantu semua sukan termasuk bola sepak. Beliau boleh maklumkan kepada Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) untuk meminta syarikat GLC menyumbang sebagai contoh RM10 juta, kalau ada 10 syarikat sudah ada RM100 juta.

“Jadi duit tajaan ini boleh disumbangkan kepada semua sukan mengikut keutamaan termasuk bola sepak. Kita tahu yang kebanyakan persatuan sukan sukar untuk mendapatkan tajaan, malah takkan selamanya nak bergantung dengan duit kerajaan.

“Untuk dapatkan sumbangan syarikat GLC ini, Syed Saddiq kena buat blueprint untuk meyakinkan kerjasama dengan syarikat berkenaan, bukan sibuk bercakap hal-hal lain,” katanya.

Terbaharu, Syed Saddiq mencetuskan rasa tidak senang di kalangan bekas pemain, pemain dan persatuan bola sepak dengan membuat kenyataan balas berhubung dakwaan ada pemain menyembunyikan status gaji untuk mengelak membayar cukai.

Azmil dan Shahrul (kanan) menggesa Syed Saddiq supaya jangan menunding jari kepada pemain.

Jamal yang menjadi antara tonggak Harimau Malaya layak ke Sukan Olimpik Moscow 1980 berkata, sebagai menteri beliau seharusnya menyiasat perkara itu terlebih dahulu.

“Jangan terlalu cepat buat kesimpulan, kalau betul arahkan LHDN buat tindakan. Kalau pemain tipu kontrak, jika berlaku sebarang masalah mereka tidak boleh buat tuntutan apa-apa jika tiada dalam kontrak,” katanya.

Sementara itu seorang lagi bekas pemain kebangsaan Azmil Azali menggesa agar Syed Saddiq tidak hanya menunding jari mencari kesalahan pemain tanpa memikirkan cara untuk membantu pemain.

Beliau berkata, sebagai orang nombor satu di Kementerian Sukan, Syed Saddiq sepatutnya memikirkan insentif untuk membantu pemain seperti pengurangan cukai pendapatan.

“Jangka hayat pemain tidak lama, tak sampai 55 tahun pun bermain bola sepak, mungkin boleh bagi sedikit diskaun atau pengurangan kepada pemain.

“Memang peraturan tetap peraturan tapi apa salahnya untuk kerajaan memikirkan nasib pemain yang ada di antara mereka menyarung jersi kebangsaan,” katanya yang beraksi bersama Johor dari 1992-2002.

Selain itu, bekas kapten Perak Ahmad Shahrul Azhar Sofian berkata, kerajaan baharu seharusnya mencari jalan membantu pemain dengan melihat semula cukai yang dikenakan ke atas pemain.

“Tak logik akal kalau pemain cuba menipu tidak mahu membayar cukai pendapatan kerana yang menguruskan segala pemotongan cukai adalah pihak pengurusan.

“Kalau betul dakwaan itu, siasat lah dulu dan dakwa pemain berkenaan, bukan sekadar bercakap di media. Lebih baik YB Menteri mencari jalan penyelesaian bantu pemain.

“Cukai yang dikenakan ke atas pemain tinggi mungkin boleh dikurangkan kerana pemain paling lama bermain hanya 10 tahun. Kadang-kadang pemain tenggelam timbul, ada yang beraksi satu dua musim dan musim ketiga cedera dan diketepikan.

“Sama juga dengan jurulatih, nasib juga tidak menentu,” katanya.

Datuk Jamal Nasir, Syaed Saddiq

Artikel Lain