suria

Rafiq, Amy dinobat Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan 2018

Rafiq (kanan) dan Amy Kwan dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan 2018.

JAGUH boling lelaki dunia Muhammad Rafiq Ismail serta ratu gimrama Amy Kwan Dict Weng dinobatkan Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan Anugerah Sukan Negara (ASN) 2018.

Rafiq yang menyerlah ketika aksi Kejohanan Boling Lelaki Dunia di Hong Kong Disember lalu menepati ramalan apabila merangkul anugerah sukan berprestij negara ini.

Rafiq, 22, berjaya mengetepikan empat lagi atlet hebat lain seperti Mohd Nafiizwan Mohd Adnan (Skuasy), Azizulhasni Awang (basikal), Mohd Syarul Azman Abdullah (bina badan) serta Muhammad Fauzi Kaman Shah (pelayaran).

"Sekarang perasaan sukar diucapkan. Nak sampai ke tahap ini bukan senang. Saya ingin ucapkan terima kasih kepada semua pihak kerana membawa saya sampai ke tahap ini.

"Nak kekalkan kemenangan paling susah. Tetapi dengan kejayaan ini saya harap dapat melakukan yang lebih baik," jelasnya ketika ditemui selepas majlis ASN Selasa malam.

Sementara itu Amy yang dinobatkan sebagai penerima Anugerah Olimpian 2018 terus menjadi pilihan untuk merangkul anugerah Olahragawati Kebangsaan.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang sentiasa bersama ketika jatuh bangun saya terutamanya OCM (Majlis Olimpik Malaysia ), MSN (Majlis Sukan Negara), ISN (Institut Sukan Negara), KBS (Kementerian Belia dan Sukan), jurulatih, staf (fisioterapi dan doktor) yang banyak membantu saya selama ini.

“Tidak lupa juga kepada keluarga, ibu bapa dan penyokong.

“Saya akan nikmati malam istimewa ini bersama keluarga,” ujarnya.

Kedua-dua pemenang ini membawa pulang wang tunai RM20,000 beserta trofi.

Selain itu, dua atlet olahraga Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi serta Siti Noor Iasah Mohd Ariffin dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Paralimpik 2018.

Mereka turut menerima hadiah wang tunai bernilai RM20,000 dan trofi kemenangan.

Senarai penuh penerima anugerah:

Pasukan Lelaki Terbaik: Andrian Ang dan Tun Ameerul Luqman al Hakeem (Boling Lelaki)

Pasukan Wanita Terbaik: Pandelela Rinong Pams dan Cheong Jun Hoong (Akuatik)

Jurulatih Lelaki Kebangsaan: Holleway Cheah (Boling)

Jurulatih Wanita Kebangsaan: Tiada pemenang

Anugerah Kepimpinan:  Dr S. Radha Krishnan dan Datuk Sieh Kok Chi

Anugerah Tokoh: Tan Sri Muhyiddin Yassin

Anugerah Khas: Hanifah Yoong Abdullah, Datuk Rahim Razali

Artikel Lain