'Usain Bolt Malaysia' ditemui! Jurulatih kata “perjalanannya masih jauh, jangan terlalu beri tekanan” - Sukan | mStar

'Usain Bolt Malaysia' ditemui! Jurulatih kata “perjalanannya masih jauh, jangan terlalu beri tekanan”

Azeem, pelari muda yang semakin mendapat perhatian selepas merakam rekod baharu kebangsaan 100 meter di Kejohanan MSSM yang sedang berlangsung di Johor.

"PERJALANANNYA masih jauh, jangan beri tekanan," jelas jurulatih kepada jaguh pecut remaja Muhammad Azeem Mohd Fahmi.

Jurulatih Olahraga Negeri Perak, Muhammad Amir Izwan, 50, memberitahu apa yang dikecapi Azeem sekarang adalah hasil usahanya sendiri.

"Memang ada orang cakap 'nanti boleh jadi Usain Bolt', tetapi bagi saya ia masih jauh. Biar dia membesar dan kecapi usia remajanya dengan tenang.

"Saya tidak mahu jika terlalu tinggi harapan atau banyak tekanan yang diterima, sebarang kemungkinan boleh berlaku seperti kecederaan dan sebagainya," ujarnya ketika dihubungi mStar.

Azeem dikenali sebagai atlet berdisiplin tinggi.


Muhammad Amir mengulas tentang video larian pantas Azeem yang tular di media sosial dan ramai netizen berpandangan anak muda itu mampu pergi jauh sekiranya bakatnya digilap.

ARTIKEL BERKAITAN: Dua atlet muda lebur rekod Kejohanan Remaja Asia

Jelas Amir, tugasnya sebagai jurulatih hanya ketika latihan sahaja, tetapi selebihnya adalah tanggungjawab atlet itu sendiri ketika berada di balapan.

"Saya hanya berpesan kepada Azeem supaya buat yang terbaik dan paling penting memberi fokus ketika di garisan pelepasan.

"Selain dari itu saya hanya serahkan kepadanya. Saya tahu dia seorang atlet yang matang walaupun usianya baru 15 tahun. Bagi saya kalah atau menang, adalah nombor dua. Yang penting dia 'enjoy' dengan larian sendiri.

Azeem mengibar bendera negeri Perak selepas mencatat rekod baharu Kejohanan MSSM 2019.

"Dan biar juga dia harumkan nama sekolah, negeri dan negara dengan caranya tersendiri," jelasnya.

Amir yang telah melatih Azeem selama tiga tahun turut berkongsi kelebihan yang ada pada pemenang pingat emas Kejohanan Olahraga Remaja Asia Tenggara ini.

"Dia sangat berdisiplin. Bukan memuji tetapi itulah sebabnya dia berada di tempatnya sekarang. Selain disiplin, setiap arahan yang kami bagi dia akan ikut. Dia juga akan buat lebih latihan daripada apa yang diberi.

"Saya juga berterima kasih kepada guru di sekolah rendahnya yang berjaya mencungkil bakat Azeem ini. Di peringkat negeri, saya dan pasukan jurulatih hanya menggilap dan memberi pendedahan kepadanya," tambah Amir.

Sebagai rekod, Azeem muncul sebagai Putera Pecut Asian pada kejohanan di Filipina Mac lalu selepas mencatat rekod baharu 10.69s.

Manakala di Kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) yang kini sedang berlangsung di Johor (21-25 April), anak jati Perak ini juga berjaya memukau penonton dengan larian pantas 10.63s meninggalkan atlet negeri lain.

Berikutan rekod terpantas kebangsaan (MSSM) itu, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman Syed menerusi entri di akaun Twitternya berharap atlet ini tidak dibazirkan.

“Malaysia mempunyai Usain Bolt tersendiri. Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) perlu pastikan bakat beliau tidak dibazirkan."

Rekod 100 meter negara masih menjadi milik Khairul Hafiz Jantan yang dirakam ketika Sukan Malaysia (Sukma) 2016 dengan catatan 10.18 saat.

Azeem Mohd Fahmi , Amir Izwan , Perak , MSSM , pecut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain