suria

Tempoh daftar wakili negara makin suntuk , Lee Tuck gigih kumpul maklumat famili di UK

Tuck mempunyai tempoh sehingga penghujung minggu ini untuk lengkapkan dokumen.

PEMAIN tengah Terengganu FC (TFC), Lee Tuck masih serius untuk menyarung jersi kebangsaan apabila dia kini sedang berusaha untuk segera melengkapkan proses dokumentasi kewarganegaraan.

Tuck akui bukan mudah untuk mengemukakan dokumen lengkap berhubung pertalian darah di sebelah ibunya di Malaysia dan dia kini dalam proses mengumpulkan semua maklumat yang berkaitan bagi memuktamadkan status sebenar pemain berdarah campuran England-Malaysia ini.

Jelasnya, semua pihak tidak ketinggalan turut sama membantu mempercepatkan proses berkenaan untuk memastikan status kewarganegaraannya dapat diputuskan secepat mungkin.

ARTIKEL BERKAITAN: Anggap diri sendiri 'musuh ketat', Lee Tuck tak kedekut labur lebih RM20,000 untuk tingkatkan prestasi

“Masalah utama yang saya sedang hadapi sekarang ialah untuk mendapatkan semua dokumen lengkap daripada nenek saya di United Kingdom dan berusaha untuk mendapatkannya sebelum tarikh tutup yang diberikan.

“Banyak perkara di belakang tabir perlu dilakukan sebelum segala dokumen yang diminta lengkap, ia bukan satu proses mudah yang boleh selesai dalam sekelip mata.

“Sememangnya saya masih ingin beraksi bersama skuad kebangsaan, cuma perkara seperti ini memakan masa dan harap ia mampu direalisasikan.

Tuck (kanan) beraksi bersama TFC ketika menentang pasukan Kuala Lumpur pada Jumaat.

“Tetapi saya yakin semua itu akan selesai dalam masa terdekat dan hasrat peminat untuk lihat saya sarung jersi kebangsaan pasti akan tercapai,“ katanya kepada mStar.

Sebelum ini, penolong pengurus TFC, Zulfadli Rozi memaklumkan Lee Tuck masih gagal mengemukakan dokuman lengkap yang diperlukan untuk didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menyebabkan hasratnya untuk menyarung jersi skuad kebangsaan tertangguh.

Jelasnya, Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu, PBSNT tidak pernah membelakangkan impian pemain berusia 31 tahun itu, sebaliknya tetap memberi sokongan untuknya segera mengumpul maklumat yang berkaitan.

Lee Tuck diberi tempoh masa sehingga penghujung minggu ini oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi mengemukakan dokumen sah untuk membuktikan dia mempunyai pertalian darah di Malaysia.

Statusnya masih samar sehingga kini kerana pemain yang dilahirkan di England itu masih belum berjaya mengumpulkan kesemua maklumat lengkap berhubung keluarganya dan perlu menyelesaikan proses itu secepat mungkin sekiranya enggan menunggu lebih lama untuk beraksi bersama Harimau Malaya.

Lee Tuck, Malaysia, TFC

Artikel Berikut

Artikel Lain