suria

Anggap diri sendiri 'musuh ketat', Lee Tuck tak kedekut labur lebih RM20,000 untuk tingkatkan prestasi

Lee Tuck menjalani latihan tambahan bagi mengekalkan prestasi kecergasannya. Foto kredit: Instagram lee_tuck.

PENYERANG import Terengganu FC (TFC) Lee Tuck berkongsi rahsia bagaimana untuk mengatasi 'musuh ketat', iaitu dirinya sendiri dengan menjaga kecergasan ketika berada di dalam dan luar padang.

Mungkin tidak keterlaluan untuk mengatakan sebahagian besar pemain Liga Malaysia terutama anak tempatan masih belum menyedari kepentingan sains sukan khususnya bagi meningkatkan stamina.

Secara amnya, kebanyakan pemain masih bergantung kepada sesi latihan bersama pasukan masing-masing untuk rutin latihan kecergasan dan kemahiran mereka.

Mengakui perkara itu, tetapi Lee Tuck,31, tidak mahu terlalu bersandar kepada sesi latihan bersama pasukan dalam meningkatkan prestasinya.

Jelas pemain kelahiran England yang dilaporkan bakal menjadi pemain naturalisasi Malaysia itu, dia sanggup melabur ribuan ringgit sebulan bagi sesi latihan intensif peribadi semata-mata untuk mengekalkan dan menambah baik tahap kecergasannya dalam usaha membantu skuad Penyu mengharungi unifi Liga Super musim ini.

Bekas pemain Negeri Sembilan itu juga memberitahu, usaha tersebut bukan berniat untuk mencari publisiti, sebaliknya hanya berminat untuk bersaing dengan dirinya yang dianggap sebagai 'musuh ketat', sekali gus memaksanya keluar daripada zon selesa.

Lee Tuck (tengah) mengawal bola daripada pemain Selangor dalam satu aksi Liga Super baru-baru ini.

"Inisiatif ini bukan untuk saya mencari populariti tetapi ia mengingatkan saya supaya menentang diri saya sendiri. Saya tidak berniat untuk bersaing dengan mana-mana pemain dan usaha ini adalah untuk diri saya sendiri.

"Secara peribadi, latihan kecergasan bola sepak sangat penting jika anda mahu berkembang sebagai pemain bola sepak. Seorang pemain yang memiliki bentuk fizikal terbaik sudah pasti dia boleh mengharapkan untuk melakukan sesuatu.

"Jadi, untuk jadi yang terbaik saya sanggup membayar AS$5,000 (RM20,462) sebulan bagi memastikan kondisi saya sentiasa berada di tahap terbaik.

"Bagaimanapun, kekuatan dan ketahanan otot tidak sahaja bergantung kepada latihan kecergasan bola sepak, kerana penjagaan pemakanan dengan betul perlu jika mahu memastikan prestasi berada pada tahap maksimum.

"Berdasarkan pengalaman saya membentuk kecergasan terbaik secara tidak langsung akan membantu prestasi menjadi semakin baik," jelasnya ketika ditemui di ibu negara baru-baru ini.

Dalam perkembangan sama, Lee Tuck mengalu-alukan pemain-pemain Liga Malaysia terutama yang muda memiliki inisiatif sendiri bagi mempertingkatkan potensi selain menggesa mereka keluar daripada zon selesa.

"Nasihat saya kepada pemain-pemain yang serius untuk melaksanakan program latihan peribadi, kamu harus berani kerana seperti saya katakan tadi, hanya kamu dapat mencabar keupayaan diri, bukan pemain lain.

"Saya sentiasa mengingatkan diri supaya tidak sesekali berada dalam keadaan selesa dan saya percaya pemain-pemain terutama anak-anak muda Terengganu memiliki bakat besar untuk membuktikan potensi mereka," tambahnya.

Sebagai rekod, Lee Tuck menjaringkan satu gol sepanjang empat perlawanan unifi Liga Super musim ini ketika membantu skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim mengikat Perak 1-1 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu minggu lalu.

Lee Tuck, rahsia, cerga, TFC

Artikel Lain