suria

Tidak perlu persoal integriti pengadil - FAM

Pemain Felda United tidak berpuas hati dengan pengadil perlawanan. Foto kredit: Johor Southern Tigers

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) tampil memberi penjelasan berkaitan isu pengadil kelahiran Johor yang mengendali perlawanan di antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Felda United pada Jumaat malam.

Selepas perlawanan Liga Super tersebut, timbul persoalan mengenai integriti pengadil perlawanan, Fitri Maskon.

Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, ACP (B) Mohd Dali Wahid memberitahu,pengadil berkenaan berdaftar di bawah Persatuan Bolasepak Melaka (Musa) dan bekerja di Melaka.

“Dia cuma lahir di Johor. Jangan hanya kerana dia  lahir di Johor, terdapat tanggapan atau persepsi bahawa integriti pengadil berkenaan telah dipengaruhi faktor terhadap negeri kelahirannya.

Artikel berkaitan: FAM perlu bertanggungjawab, ubah prosedur pemilihan pengadil - Pengarah Teknikal JDT

"Sebelum ini pun, FAM tidak pernah memilih pengadil untuk mengadili sesuatu perlawanan itu berdasarkan tempat lahir mereka, sebaliknya mengikut negeri mana mereka didaftarkan.

“Apa yang berlaku pada perlawanan JDT bertemu Felda United, semalam jelas bukanlah sesuatu perkara baharu yang perlu dijadikan isu oleh sesetengah pihak,” ujarnya dalam satu kenyataan media lewat Sabtu malam.

Jelas Mohd Dali, tempat lahir pengadil tidak pernah dijadikan pertikaian atau isu sebelum ini kerana semua pelantikan pengadil perlawanan telah dilakukan dengan cukup profesional dan teliti mengikut negeri tempat pengadil-pengadil ini didaftarkan dan juga tahap kelayakan mereka.

“Mengapa integriti seseorang pemain itu tidak dipersoalkan pula jika dia  beraksi menentang pasukan negeri kelahirannya, tetapi untuk pengadil, ia dijadikan pertikaian sedangkan umum mengetahui bahawa individu yang bergelar pengadil ini adalah seorang yang sentiasa profesional dalam menjalankan tugasnya.

“Malah untuk pengetahuan semua juga, sehingga perlawanan kelapan Liga Super diharungi JDT sehingga semalam, FAM telah melantik lapan pengadil berbeza untuk setiap perlawanan yang membabitkan pasukan JDT itu, sekaligus dakwaan bahawa FAM meletakkan pengadil tertentu untuk secara berulang kali mengadili perlawanan membabitkan pasukan JDT adalah tidak benar.

“Biarpun berpandukan Prosedur Pengendalian Standard (SOP), FAM sentiasa meneliti prestasi setiap pengadil dari semasa ke semasa dan akan memastikan prestasi pengadil pada perlawanan semalam turut dinilai dengan terperinci bagi memastikan kami dapat meningkatkan lagi mutu pengadilan pengadil di negara ini,” jelasnya.

Isu pengadilan timbul selepas pengadil melayangkan tiga kad merah kepada pemain Felda United yang menyaksikan skuad Harimau Selatan itu menang 3-1. Malah Pengarah Teknikal JDT Alister Edwards menggesa supaya FAM lebih peka dengan isu tersebut.

Pengadil, FAM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain