suria

Terbuka Malaysia: Cabaran negara berakhir

Kian Meng-Pei Jing aku tewas kepada pilihan kedua dari China.

CABARAN negara pada kejohanan badminton Terbuka Malaysia 2019 berakhir apabila beregu campuran Tan Kian Meng-Lai Pei Jing tewas pada aksi separuh akhir yang berlangsung di Axiata Arena Bandar Sukan Kuala Lumpur di Bukit Jalil.

Kian Meng-Pei Jing terpaksa akur dengan pilihan kedua dari China Wang Yilyu-Huang Dongping 13-21, 17-21.  Dengan kekalahan ini, tiada wakil Malaysia yang berjaya mara ke pentas final Terbuka Malaysia mengulangi pencapaian edisi 2015.

Bagi Pei Jing, walaupun kalah dalam perlawanan separuh akhir pada Sabtu, ada pengajaran bermakna yang diperolehi apabila berdepan pemain di ranking teratas dunia.

“Walaupun hari ini kalah, kita dapat tengok apa yang kita berbeza daripada mereka...pemain di ranking atas. Kita kena berusaha lebih banyak lagi untuk “catch up” dengan mereka.

“Saya harap selepas ini prestasi kami akan menjadi lebih baik dalam setiap kejohanan yang disertai nanti,” katanya.

Kian Meng-Pei Jing melalui episod duka tahun lepas berikutan masalah keluarga dan memasuki tahun 2019 terkandas di pusingan pertama dalam empat kejohanan yang disertai iaitu Malaysia Masters, Indonesia Masters, Terbuka Jerman dan Seluruh England.

Turun sebagai wakil tunggal Malaysia di separuh akhir di laman sendiri, Kian Meng mengakui tidak berasa tertekan malah berterima kasih kepada penyokong yang memberi sokongan gemuruh kepada mereka.“Tidak ada tekanan sebab kita tidak fikir banyak.

Cuma hari ini kita tidak dapat rentak yang bagus dalam corak permainan kita.

“Pihak lawan juga banyak mengasak kita. Tapi puas sebab kita tetap fight sampai habis,” katanya.

Pilihan kedua dari China akan berdepan rakan senegara Du Yue-Li Yinhui yang sebelum itu menewaskan pasangan Thailand Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai 21-14, 21-9.

Acara beregu lelaki pula akan menyaksikan pertembungan antara pilihan ketiga dari Jepun Takeshi Kamura-Keigo Sonoda berdepan pilihan kedua dari China Li Junhui-Liu Yuchen.

Sementara beregu wanita pula menyaksikan pertembungan dua pasangan dari China Chen Qingchen-Jia Yifan menentang Du Yue-Li Yinhui.- Bernama

Terbuka Malaysia

Artikel Lain