suria

Aksi Harimau Malaya bertemu Nepal ditangguhkan - FAM

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Jumaat mengumumkan penangguhan perlawanan persahabatan antarabangsa ‘A' antara skuad kebangsaan bertemu Nepal di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 26 Mac ini ke satu tarikh yang akan ditentukan kelak.

Setiausaha Agung FAM Stuart Ramalingam dalam satu kenyataan media berkata pihaknya akur dengan keputusan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang hanya membenarkan dua aksi persahabatan ‘A' diadakan pada jendela perlawanan antarabangsa walaupun FAM pernah membuat rayuan sebelum ini.

“Meskipun mengetahui garis panduan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang hanya membenarkan dua perlawanan berstatus ‘A' pada jendela perlawanan antarabangsa FIFA, dalam usaha untuk memperbaiki ranking dunia, FAM telah cuba untuk membuat rayuan kepada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan FIFA bagi meluluskan perlawanan ketiga itu iaitu menentang Nepal pada 26 Mac 2019.

Peluang tampak cerah apabila pada 6 Mac 2019, pihak AFC telah meluluskan perlawanan tersebut, namun pada 7 Mac 2019, FIFA telah pun memaklumkan kepada FAM bahawa perlawanan tambahan itu tidak diluluskan sebagai perlawanan persahabatan antarabangsa berstatus ‘A'.

“Sebagai menghormati keputusan FIFA itu, FAM dan Persatuan Bolasepak Seluruh Nepal (ANFA) telah bersetuju untuk menangguhkan perlawanan tersebut ke satu tarikh baharu semasa jendela perlawanan antarabangsa FIFA yang akan datang bagi membolehkan kedua-dua negara menikmati peluang untuk mendapat mata bagi kiraan ranking dunia,” katanya.

Skuad Harimau Malaya kendalian Jurulatih Tan Cheng Hoe kini berada di kedudukan ke-167 dalam ranking FIFA manakala Nepal pula di kedudukan ke-161. - BERNAMA

FAM, Harimau Malaya, Nepal

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Siapa ganti Renan Alves?

Artikel Lain