suria

Penyokong United parah ditikam pemandu teksi kerana raikan kemenangan Red Devils

Penyokong Manchester United meraikan kemenangan kelab mereka ke atas PSG. - AP

SEORANG penyokong Manchester United dikejarkan ke hospital untuk menjalani pembedahan kecemasan setelah ditikam di dada oleh seorang pemandu teksi selepas perlawanan Liga Juara-Juara di Paris.

Penyokong berusia 44 tahun itu pulang dari stadium selepas kemenangan bersejarah 3-1 Manchester United ke atas PSG dan menyanyi bagi meraikan kejayaan kelab tersebut bersama tiga penyokong lain.

Pemandu teksi terbabit dilaporkan tersinggung dengan mereka dan bertindang menghalau kumpulan penyokong itu keluar daripada teksinya.

Situasi itu dilaporkan berubah mendadak apabila pemandu tersebut mengeluarkan pisau dan mengancam seorang penumpang wanita dalam kumpulan penyokong itu sebelum menikam mangsa di dada.

Kumpulan penyokong tersebut berjaya menahan sebuah kereta yang melalui kawasan itu untuk membawa mangsa ke Hospital Europeen Georges-Pompidou bagi menjalani pembedahan kecemasan untuk mengeluarkan darah daripada paru-parunya.

Polis Perancis telah menangkap suspek, namun senjata yang digunakan semasa serangan masih belum dijumpai.

Insiden tersebut berlaku hanya beberapa minggu selepas seorang peminat Manchester City mengalami koma di Jerman kerana diserang oleh peminat Schalke selepas pertembungan antara City dengan kelab Jerman itu.

Peminat City yang kini sudah sedar daripada koma, dilaporkan bahawa kepalanya jatuh ke lantai lalu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan otak yang teruk.

Insiden serupa berlaku kepada peminat Liverpool, Sean Cox pada April tahun lalu sebelum pertemuan antara Merseyside dengan Roma di separuh akhir Liga Juara-Juara.

Cox diserang dengan tali pinggang oleh penyokong Roma sehingga menyebabkan dia mengalami pelbagai gangguan kognitif dan komunikasi. - FTBL Life

Manchester United, ditikam

Artikel Lain