suria

FAM bayar tunggakan gaji RM2.5 juta kepada lapan pasukan

Stuart Ramalingam. Foto: FAM

PERSATUAN Bola sepak Malaysia (FAM) bertindak menyelesaikan tunggakan gaji pemain dan pegawai bagi lima pasukan Liga Malaysia berjumlah RM1,178,600 menggunakan wang deposit dan lain-lain wang milik pasukan berkenaan yang dipegang oleh FAM.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata tunggakan melibatkan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah dikreditkan terus ke akaun individu yang terlibat pada 19 Februari lalu.

Sementara bagi pasukan Felcra FC, MOF FC dan DBKL FC, bayaran telah dikreditkan pada Selasa lepas dan Terengganu City FC pula telah dibuat pada Khamis.

Beliau berkata tunggakan gaji pemain dan pegawai bagi tiga lagi pasukan iaitu Felda United, Hanelang FC dan Marcerra United yang berjumlah RM1,339,359.40 sedang dalam proses pembayaran dan dijangka dapat dikreditkan terus ke akaun individu yang terlibat dalam beberapa minggu lagi.

“Ini menjadikan keseluruhan jumlah tunggakan gaji pemain dan pegawai yang berjaya diselesaikan FAM dengan menggunakan wang deposit dan lain-lain wang yang dipegang oleh FAM ini adalah berjumlah RM2,517,959.40,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“Bagaimanapun, ia bukan bermakna bahawa keseluruhan tunggakan gaji pemain dan pegawai berkenaan telah pun diselesaikan kerana jumlah tunggakan yang dinyatakan ini adalah berdasarkan jumlah wang deposit dan lain-lain wang yang dipegang oleh FAM ke atas setiap pasukan yang terlibat,” tambahnya.

Menurut Stuart, inisiatif itu merupakan sebahagian usaha bagi meringankan beban individu-individu yang terlibat dengan masalah tunggakan gaji.

Beliau menegaskan bahawa baki tunggakan gaji pemain dan pegawai yang masih ada, tetap perlu diselesaikan oleh pasukan-pasukan berkenaan.

“FAM turut berharap agar pasukan-pasukan terbabit menghargai usaha yang dilakukan ini kerana ia telah mengurangkan sebahagian tunggakan yang perlu dijelaskan. Seterusnya mereka juga perlu memiliki rasa tanggungjawab untuk menyelesaikan baki tunggakan kepada pemain dan pegawai yang terlibat ini,” katanya.

tunggakan gaji, hutang, FAM

Artikel Lain