suria

KBS akan buka pusat sehenti untuk jaga kebajikan atlet

Syed Saddiq (tengah) ketika sidang media selepas perasmian Standard Chartered KL Marathon 2019. - Bernama

KEMENTERIAN Belia dan Sukan kini dalam usaha menyiapkan sebuah pusat sehenti untuk tujuan kebajikan kepada atlet dan bekas atlet negara, kata menterinya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

"Kementerian membuat keputusan untuk membuka sebuah pusat sehenti khusus untuk atlet. Kita mahu siapkan secepat mungkin sama ada pada suku kedua atau ketiga tahun ini.

"Ia bukan satu tempat untuk menyelesaikan kes demi kes tetapi lebih bersifat menyeluruh bagi atlet. Walaupun ada yang sudah lama bersara, terbukti mereka telah berkhidmat untuk negara dan kita juga mempunyai tanggungjawab moral kepada mereka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis pelancaran sistem pengundian secara berkomputer untuk pendaftaran penyertaan Maraton KL Standard Chartered 2019 di Kuala Lumpur pada Jumaat.

Syed Saddiq berkata beliau sudah memaklumkan kepada Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) bahawa keutamaan perlu diberikan kepada mereka untuk mendapatkan pekerjaan. 

Kementerian dalam usaha membuka sebuah pusat sehenti khusus untuk atlet. - Gambar hiasan/Bernama

Menurut beliau, penubuhan sebuah pusat sehenti itu sangat diperlukan sekarang memandang banyak isu berkaitan kebajikan atlet dan bekas atlet yang menjadi tular dalam media sosial dan juga media tempatan.  

Untuk tujuan kebajikan atlet juga, Syed Saddiq berkata kolaborasi dengan pihak institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA dan IPTS) telah dilaksanakan bagi menjamin masa depan atlet.

"Sekarang sudah ada 19 IPTA dan IPTS. Kita sasar sekurang-kurangnya ada satu IPT di setiap negeri yang boleh juga dijadikan sebagai hab sukan.

"Kalau boleh kita juga mahu menyerap bekas-bekas atlet ini ke universiti-universiti ini untuk bekerja dan dapat membantu menggilap bakat baharu. 

"Jika universiti diaktifkan sebagai hab sukan, saya yakin perkara seperti ini (kebajikan) dapat ditangani dengan lebih baik," katanya.

Antara kolaborasi sudah diwujudkan adalah dengan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di Terengganu, yang memberi tumpuan kepada pembangunan sukan memanah selain memberi peluang pengajian kepada atlet di universiti berkenaan. - Bernama

pusat sehenti atlet

Artikel Lain