suria

‘Burn’ intai satu mata dalam pertembungan bersama PKNS FC esok

Foto Facebook

KETUA jurulatih PKNP FC, Abu Bakar Fadzim (gambar) berharap pemainnya dapat mencuri sekurang-kurangnya satu mata apabila turun menentang pasukan meningkat naik, PKNS FC, pada aksi keempat Liga Super di Stadium Shah Alam, Sabtu.

Pengendali berusia 47 tahun itu, yang lebih dikenali dengan panggilan mesra ‘Burn', menjelaskan, pasukannya perlu kembali meraih keputusan positif bagi mengubah kedudukan pasukan tangga kedua tercorot liga dengan kutipan satu mata selepas tiga perlawanan.

"Kami sedang mencari momentum kemenangan namun harap dapat mengutip satu mata apabila berdepan dengan PKNP FC,” katanya yang lebih dikenali dengan nama 'Burn”kepada Bernama pada Jumaat.

Dalam pada itu, Abu Bakar yakin kehadiran bekas penyerang Petaling Jaya City FC (PJ City FC), Giancarlo Rodrigues dari Brazil dan pemain import dari Filipina, Amani Aguinaldo dari kelab Ceres-Negros FC dapat memantapkan jentera serangan dan pertahanan pasukan kelab berkenaan.

“Saya mengharapkan kehadiran Giancarlo dapat membantu beberapa pemain import lain termasuk Thomas Abbey dan Yashir Pinto dalam memperbaiki kelemahan sentuhan penyudah pasukan kita dalam tiga aksi terdahulu.

Beliau mengakui  pasukannya mudah memboloskan enam gol dalam tiga perlawanan sebelum ini dan yakin kelemahan benteng pertahanan dapat diperbaiki dengan kehadiran Aguinaldo yang beraksi dengan Filipina pada pusingan kelayakan Piala Asia 2019.

Untuk rekod, PKNP kalah 2-0 kepada Kedah pada aksi pembukaan Liga Super di laman sendiri pada 2 Feb lepas, namun bangkit melakar keputusan seri 1-1 dengan Felda United di tempat lawan pada 10 Feb lepas.

Bagaimanapun, pasukan tersebut kembali ditimpa kekalahan apabila tunduk 3-2 kepada PJ City FC, Sabtu lalu. - Bernama


PKNP FC, Liga Super

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain