"Lawan hingga minit ke-90!" - PJ FC siap sedia 'hidang' permainan sukar berdepan Kedah - Sukan | mStar

"Lawan hingga minit ke-90!" - PJ FC siap sedia 'hidang' permainan sukar berdepan Kedah

PENGENDALI Petaling Jaya FC (PJ FC), K. Devan yakin kehadiran dua pemain baharu bakal memberi keseimbangan untuk skuadnya beraksi menentang Kedah menjelang perlawanan Liga Super Jumaat malam.

Menurut jurulatih berusia 51 tahun itu, dia perlu menukar beberapa pemain untuk memastikan aksi bertemu Kedah lebih menarik.

"Semua orang tahu Kedah adalah pasukan yang kuat. Tetapi kami tidak akan memberi permainan mudah kepada mereka.

"Kami akan lawan sehingga minit ke-90," ujarnya kepada mStar Online.

K.Devan


Devan percaya kehadiran dua pemain yang baharu diikat, Safee Sali dan Sergi Paulo Nascimento Filho akan lebih memantapkan pasukan.

"Safee antara pemain berpengalaman dan saya percaya dengan kredibilitinya di atas padang, lebih-lebih lagi dia boleh menggunakan kedua-dua belah kakinya.

"Manakala Filho pemain yang pernah datang menjalani latihan dengan kita musim lalu, namun tidak dapat bersama kerana ada masalah keluarga di Brazil. Saya sudah lihat corak permainannya dan dia bakal menjadi perancang utama pasukan dalam mencipta peluang gol kepada penyerang," ujarnya.

PJ FC yang sebelum ini dikenali sebagai Mifa berjaya mengisi slot ke Liga Super tahun ini dengan menggantikan Felcra FC yang menarik diri akibat masalah kewangan.

Dengan sentuhan Devan, PJ FC kini menduduki tangga kelima liga dengan tiga perlawanan selepas mencatat kemenangan 3-2 ke atas PKNP, seri ke atas Selangor (1-1) dan tewas 2-1 kepada Melaka United.

Artikel berkaitan: Ramal perlawanan Kedah-PJ City Boys sengit, Aidil Sharin turunkan 11 terbaik

PJ FC , K.Devan

Lebih Artikel