Gara-gara menang ke atas Schalke, penyokong Man City kritikal diserang di dalam stadium - Sukan | mStar

Gara-gara menang ke atas Schalke, penyokong Man City kritikal diserang di dalam stadium

SEORANG penyokong Manchester City berada dalam keadaan kritikal di hospital selepas diserang sebaik pasukan itu menang ke atas Schalke pada aksi Liga Juara-Juara di Jerman.

Polis Jerman berkata lelaki berusia 32 tahun itu mengalami kecederaan serius di kepala selepas diserang dua penyokong Schalke di dalam stadium Veltins Arena.

"Dalam pergaduhan itu dia ditumbuk sehingga jatuh ke lantai. Dia mengalami kecederaan serius di kepalanya," kata jurucakap polis.

Menurut polis, lelaki itu dirawat di dalam stadium sebelum dikejarkan ke hospital.

"Dia masih kritikal ketika ini," katanya.

Keluarga lelaki tersebut mendapat bantuan daripada Polis Greater Manchester (GMP) dan kakitangan City yang tinggal di Jerman.

GMP berkata:"Kami menyedari serangan yang berlaku selepas perlawanan Schalke menentang Manchester City.

"Kami sedang bekerjasama dengan Schalke dan pihak berkuasa Jerman untuk membantu siasatan dan keluarga mangsa.

"Kami menggesa sesiapa sahaja yang ada maklumat berkaitan insiden itu supaya tampil untuk membantu siasatan." - BBC

Manchester City , penyokong , parah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Klopp mengaku salah, didenda RM239,376

Artikel Lain